Kuala Lumpur – Kesilapan memaparkan Jalur Gemilang secara salah dalam bahan rasmi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bukan lagi isu kecil. Ia adalah penghinaan terang-terangan terhadap maruah negara, dan kegagalan ini mesti dipertanggungjawabkan oleh menteri sendiri — bukan sekadar dengan permohonan maaf!
Ini bukan kali pertama. Tahun demi tahun, kesilapan sama berulang dalam buku teks, platform pendidikan dan acara rasmi. Berapa kali lagi rakyat harus terima alasan ‘kecuaian’? Bukankah pendidikan sepatutnya menjadi benteng pertama dalam membina patriotisme dan cinta negara?
Kecuaian terhadap bendera nasional adalah kecuaian terhadap kedaulatan negara itu sendiri. Menteri Pendidikan perlu faham bahawa kesilapan ini bukan sekadar soal teknikal, tetapi mencerminkan kealpaan memartabatkan asas kenegaraan kepada generasi muda.
Jika menteri sendiri tidak mampu mengawal kualiti dan ketepatan bahan rasmi kementerian — yang sepatutnya memupuk semangat cinta negara — beliau tidak lagi layak memimpin sistem pendidikan Malaysia. Cukuplah berlindung di sebalik skrip permohonan maaf.
Menteri Pendidikan perlu mengambil tanggungjawab penuh dan meletakkan jawatan. Hanya dengan kebertanggungjawaban, integriti kementerian dapat dipulihkan, dan mesej jelas dapat dihantar bahawa Jalur Gemilang bukan simbol yang boleh dipermainkan!