Pada 17 April 2025, tular satu video yang menunjukkan Anthony Loke memberi hadiah kepada Presiden China, Xi Jinping sebelum beliau berangkat ke Combodia. Pemberian hadiah tersebut menjadi tanda tanya ramai pihak kerana dilihat bukan dalam acara rasmi malah hadiah yang diberikan mempamerkan simbol naga.
Setiausaha Agung DAP itu telah mengatakan hadiah berukiran naga tersebut adalah hadiah peribadi beliau dan bukan mewakili kerajaan selepas ditanya oleh wartawan beberapa hari selepas peristiwa tersebut.
Menurut Ketua Penerangan BERJASA, saudara Hamdan Shariff berkata “tindakan Anthony Loke membuktikan DAP adalah parti ‘low-class.”
“Pertama, kenyataan beliau tidak konsisten sama ada pemberian tersebut adalah hadiah peribadi, sebagai wakil parti, atau sebagai wakil kerajaan?. Dalam media sosial, perbualan dalam video, dan kenyataan beliau berbeza-beza. Tulisan di hadiah tulis jawatannya dalam DAP, menggambarkan beliau adalah wakil parti. Dalam video sebut mewakili rakyat Malaysia. Dalam media sosial tulis jalinan antara dua negara. Tindakan beliau ini menimbulkan kekeliruan oleh ramai pihak. Apa niat DAP sebenarnya?”
“Kedua, DAP sengaja mengenepikan identiti negara. Mereka seolah-olah mengangkat identiti negara lain. Kenapa DAP tidak mengangkat lambang rasmi negara iaitu Harimau atau Bunga Raya? Sekiranya DAP mempunyai jati diri, patutnya bangga dengan identiti nasional tanah air ini. Lambang rasmi negara ini pasti menjadi perkara utama untuk diketengahkan terutama bagi mereka yang telah memegang jawatan penting negara dan ingin meneraju kerajaan Malaysia. Adakah mungkin juga beliau sendiri tidak tahu lambang rasmi negara dan tidak berbangga dengannya?”
“Ketiga, tindakan Setiausaha DAP ini menampakkan ketidakmatangan dalam diplomasi antarabangsa. Beliau memandang ringan aspek protokol keselamatan dengan berjumpa VVIP secara mengejut. Beliau juga menggunakan jawatan menteri untuk mengangkat agenda parti dalam aturcara rasmi negara.”
Hamdan Shariff menambah lagi, “tindakan beliau bukan sahaja memalukan, syok sendiri, malah merupakan satu penghinaan besar kepada Malaysia”.