Shah Alam – Kesilapan memaparkan Jalur Gemilang yang cacat tanpa bulan di muka depan akhbar Sin Chew Daily hari ini bukan sekadar kesilapan teknikal, tetapi membuka ruang kepada persoalan lebih besar – adakah ini satu lagi contoh agenda halus untuk melemahkan pegangan nasional terhadap Islam, Raja dan bangsa Melayu?
Akhbar Sin Chew Daily, yang menjadi rujukan utama bagi sebahagian besar pembaca Cina, khususnya generasi muda, dilihat semakin kerap menyiarkan kandungan yang kurang menonjolkan simbol negara dan semangat kenegaraan yang tulen. Hari ini bendera cacat, esok apa pula? Adakah ini cara perlahan untuk “membuang bulan” – simbol penting yang mewakili Islam dan kedaulatan Raja-Raja Melayu?
Ketua Penerangan BERJASA, Mohd Hamdan Mohd Sharif menegaskan bahawa perkara ini tidak boleh dipandang ringan. Bendera negara adalah lambang rasmi kepada perlembagaan, Islam sebagai agama Persekutuan dan kedudukan Raja sebagai payung yang memayungi Agama Islam dan adat istiadat Melayu. Jika akhbar arus perdana sebegini pun sanggup melepaskan kecuaian besar sebegitu, siapa yang jamin generasi pembacanya tidak akan dididik dalam kerangka Malaysia yang ‘bebas’ daripada akar sejarah dan perlembagaannya sendiri?
Beliau memberi amaran bahawa permainan persepsi ini bukan perkara baharu. Ia sedang berlaku secara sistematik melalui kandungan, visual dan wacana dalam ruang media Cina yang semakin menjauh dari identiti nasional. Kerajaan perlu bertindak lebih tegas. Jangan kerana mahu jaga keharmonian politik, kita gadai prinsip negara.