Tanjung Malim – Ketua Penerangan Pemuda BERJASA, Meor Azim mengulas lanjut isu kos sara hidup yang semakin melarat berkait dengan harga rumah yang semakin tidak masuk akal untuk belia hari ini.
“Bilangan rumah yang sudah dibina terlalu banyak, namun jumlah rumah terbiar dan projek terbengkalai tidak kurang banyaknya. Tidak dinafikan pembangunan setempat bermula dengan pembangunan perumahan. Namun ia perlulah dibina secara konstruktif untuk mengelakkan kerugian yang bakal dialami”
“Pekerja muda perlukan rangsangan kewangan terutama bagi mereka yang duduk di kawasan bandar. Hal ini bagi menggalakkan mereka memulakan kerjaya dengan selesa dan stabil serta dapat membantu meningkatkan pertumbuhan ekonomi setempat” tambah beliau.
Inisiatif yang dijalankan oleh kerajaan sebelum ini dalam mengkaji dan menyediakan rumah mampu milik di seluruh negara perlu difokuskan kepada golongan belia.
Beliau menyoal bahawa belia yang membeli rumah pada usia 20 tahun dengan ikatan pinjaman selama 30 tahun, maka pada usia 50 tahun barulah selesai hutang untuk sebuah rumah yang dibeli pada usia 20 tahun.
“Ini belum berbicara mengenai kesesuaian rumah yang dibeli, pelepasan pinjaman yang tidak diterima bank, dan sebagainya. Adapun sekiranya menyewa, kerajaan perlu memperkenalkan perumahan mikro”
Beliau turut menegaskan bahawa, belia akan lebih berani untuk berhijrah ke luar negeri untuk mencari pekerjaan stabil jika kos sewaan rumah setimpal dengan gaji permulaan bekerja.
“Baru sahaja nak mula bekerja, namun tidak mampu menyewa kerana rumah sekarang dibina untuk mampu tengok berbanding mampu beli”.