Shah Alam — Malaysia perlu mengambil pengajaran daripada insiden rampasan beting oleh kuasa asing di Laut China Selatan (LCS), yang semakin kerap berlaku dan menggugat kedaulatan negara-negara rantau ini. Kejadian seperti yang berlaku di kawasan perairan Filipina harus menjadi peringatan kepada Malaysia agar tidak memandang ringan ancaman yang semakin nyata, khususnya di kawasan strategik seperti Beting Patinggi Ali.
Ketua Penerangan BERJASA, Mohd Hamdan Mohd Sharif menyatakan bahawa Beting Patinggi Ali, yang terletak dalam Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) Malaysia, kerap menjadi sasaran kehadiran kapal-kapal pengawal pantai dan tentera laut China. Pencerobohan ini bukan sahaja mencabar hak kedaulatan Malaysia, tetapi turut menggugat kestabilan rantau.
Menurut laporan pertahanan dan maritim, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, berlaku peningkatan ketara dalam aktiviti pencerobohan oleh China ke dalam perairan Malaysia. Pada tahun 2023 menyaksikan kehadiran Kapal penyelidik China, Haiyang Dizhi 8 telah memasuki kawasan ZEE Malaysia. Begitu juga pada tahun 2024 serta tahun sebelumnya, beberapa insiden pencerobohan telah berlaku di kawasan ZEE Malaysia.
China juga dilaporkan menjalankan pelbagai tindakan provokatif terhadap perairan serantau, antaranya penggunaan lampu laser terhadap kapal Manila, serta melakukan rondaan berkala tanpa kebenaran di beberapa negara Asia Tenggara seperti Malaysia, Filipina, Brunei dan Indonesia. Tindakan ini merupakan ancaman langsung kepada keselamatan negara dan menjejaskan kebebasan navigasi serta eksploitasi sumber laut negara.
Menurut beliau, Filipina telah mengambil langkah tegas dalam menghadapi pencerobohan sedemikian. Antaranya termasuk:
- Menghantar lebih 14,000 anggota tentera Filipina dan AS jalani latihan ketenteraan bersama, ‘Balikatan’ sebagai sebahagian ujian kesiapsiagaan penuh dalam menghadapi kebimbangan keselamatan serantau.
- Mengerahkan aset udara dan laut tentera serta pengawal pantainya di zon ekonomi eksklusifnya (ZEE) untuk membuat pantauan.
- Menjalankan rondaan bersama dengan rakan serantau seperti Amerika Syarikat.
Langkah Filipina menunjukkan kepentingan ketegasan diplomatik dan pertahanan bagi memastikan hak kedaulatan dihormati.
Sehubungan itu, Mohd Hamdan menegaskan bahawa untuk menangani situasi ini, Malaysia disarankan mengambil pendekatan menyeluruh dan bersepadu:
1. Peningkatan Pengawasan dan Penguatkuasaan:
Menambah bilangan rondaan maritim dan aset pemantauan di kawasan strategik seperti Beting Patinggi Ali. Teknologi dron, radar jarak jauh, dan kerjasama dengan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) perlu dipertingkatkan.
2. Tindakan Diplomatik Tegas:
Mengemukakan bantahan rasmi kepada China melalui saluran diplomatik, serta membawa isu ini ke forum antarabangsa seperti ASEAN dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
3. Kerjasama Serantau:
Memperkukuh hubungan ketenteraan dan keselamatan dengan negara-negara ASEAN, serta memperluas kerjasama dengan kuasa luar yang berkongsi kepentingan dalam kebebasan pelayaran di LCS.
4. Peningkatan Kesedaran Awam:
Melaksanakan kempen kesedaran nasional untuk mendidik rakyat tentang kepentingan mempertahankan kedaulatan maritim serta ancaman yang dihadapi di Laut China Selatan.
5. Pembangunan Infrastruktur Maritim:
Membangun pangkalan maritim kecil di kawasan-kawasan strategik serta meningkatkan kemampuan pelabuhan dan fasiliti pertahanan laut di kawasan ZEE Malaysia.
Kedaulatan perairan negara tidak boleh dikompromi. Malaysia mesti bertindak segera dan tegas untuk mengelak daripada menjadi mangsa rampasan wilayah secara beransur-ansur. Laut China Selatan bukan medan untuk kuasa besar memperluas pengaruh, tetapi hak milik sah yang perlu dipertahankan sepenuhnya oleh negara kita.