Pada 27 Jun 2024, kerajaan Madani meluluskan pemberimilikan (menjual) tanah rizab polis di Lot 54780, Taman Desa seluas 0.86 ekar kepada syarikat pemaju swasta untuk membina kondominium mewah. Keputusan ini dibuat walaupun terdapat bantahan keras daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Tanah tersebut pada asalnya diperuntukkan untuk pembinaan Balai Polis Danau Desa bagi menggantikan balai sewaan yang tidak lagi sesuai. Ia juga telah diklasifikasikan sebagai tanah rizab polis dalam Pelan Tempatan Kuala Lumpur 2020 dan 2040. Menurut sumber, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) menolak bantahan PDRM dan KDN, lalu membenarkan penjualan tanah ini kepada pemaju untuk pembangunan kondominium.
Pada 11 Februari 2025, penduduk Taman Desa mengadakan protes membantah penjualan ini, menyuarakan kebimbangan mereka terhadap keutamaan kerajaan yang dilihat lebih cenderung kepada kepentingan pemaju berbanding kesejahteraan masyarakat setempat.
Adakah kerajaan sedang ‘Menggadaikan’ Keselamatan Penduduk?
Keputusan kerajaan untuk menjual tanah rizab polis ini menimbulkan persoalan serius mengenai keutamaan mereka. Adakah keuntungan daripada pembangunan kondominium lebih penting daripada keselamatan penduduk? Tindakan ini menunjukkan kerajaan lebih mengutamakan kepentingan pemaju berbanding tanggungjawab mereka dalam menjaga keselamatan rakyat.
Lebih membimbangkan, penjualan ini tetap diteruskan walaupun mendapat bantahan rasmi daripada PDRM dan KDN. Jika agensi keselamatan sendiri sudah memberi amaran tentang keperluan balai polis di kawasan ini, mengapa kerajaan masih berdegil dan membiarkan pemaju mengambil alih tanah yang sepatutnya digunakan untuk keselamatan awam?
Persoalan lebih besar – adakah kerajaan Madani menghadapi masalah kewangan sehingga terpaksa menjual tanah strategik kepada pemaju? Atau memang keutamaan mereka lebih kepada syarikat pemaju kondo mewah berbanding kepentingan masyarakat tempatan?
BINA2040 menegaskan bahawa kelemahan dalam dasar pemilikan tanah telah menyebabkan manipulasi oleh pihak berkepentingan, termasuk pemaju swasta yang lebih mengutamakan keuntungan berbanding kepentingan awam. Kerajaan sepatutnya memastikan tanah strategik digunakan untuk keperluan rakyat, bukannya dijual kepada syarikat yang hanya memikirkan keuntungan.
BERJASA: Kembalikan Tanah Rizab Polis Demi Keselamatan Rakyat!
Parti BERJASA menegaskan bahawa keselamatan rakyat harus menjadi keutamaan dalam setiap keputusan kerajaan. Ketua Penerangan Parti Berjasa, Hamdan Sharif berkata, Penjualan tanah rizab polis untuk tujuan komersial adalah tindakan yang tidak bertanggungjawab dan mengabaikan keperluan asas penduduk.
Beliau menggesa kerajaan untuk lebih telus dalam proses penjualan aset-aset awam dan memastikan setiap keputusan dibuat dengan mengambil kira kepentingan rakyat, bukan semata-mata keuntungan komersial. Ketidaktelusan dalam pentadbiran seperti ini telah banyak kali ditegur dalam BINA2040 sebagai punca utama keputusan yang merugikan rakyat.
“Kita menyokong tuntutan Persatuan Penduduk Taman Desa (TDRA) yang sememangnya berhak mendapatkan jaminan keselamatan, terutama apabila ada pertambahan penduduk yang pesat di kawasan tersebut. Kerajaan perlu memahami bahawa keutamaan rakyat adalah kesejahteraan dan keselamatan mereka, bukan pembangunan mewah yang hanya menguntungkan segelintir pihak.” tambahnya lagi.
Keselamatan rakyat bukan sesuatu yang boleh dikompromi demi keuntungan syarikat pemaju. Jika kerajaan terus tunduk kepada kehendak pemaju, tidak mustahil suatu hari nanti rakyat sendiri akan kehilangan hak mereka terhadap tanah dan kemudahan awam yang sepatutnya menjadi milik mereka.