Bangi – Isu Rang Undang-Undang (RUU) Warga Emas yang dijangka dibentang Parlimen tahun hadapan pantas mendapat respon daripada parti BERJASA.
Naib Ketua Wanita 2 BERJASA, Hajah Asral Widad ketika dihubungi berkata, beliau memahami keprihatinan kerajaan yang bertindak untuk memperjuangkan hak dan nasib warga emas.
Namun bagi beliau, seharusnya RUU Warga Emas yang ingin dibentangkan oleh kerajaan nanti perlu diperhalusi terlebih dahulu lagi-lagi melibatkan peruntukan menghukum anak yang mengabaikan ibu bapa mereka.
“Saya berpandangan idea ini amat bagus oleh kerajaan yang menunjukkan kita bersedia untuk menuju ke arah negara tua pada 2030”.
“Cumanya peruntukan di dalam RUU itu yang mana anak akan dihukum jika sabit kesalahan mengabaikan ibu bapa mereka kerana kita khuatir ia tidak akan menyelesaikan masalah secara ‘long term’ di kemudian hari”.
“Boleh jadi anak itu akan menimbulkan rasa dendam dalam diri terhadap ibu bapa mereka apabila dihukum dan masalah ini akan berpanjangan dalam keluarga mereka”, tegas beliau.
Tambah beliau, Malaysia yang majoritinya Muslim dan terdiri daripada kaum majmuk masih lagi mengamalkan adat ketimuran yang mementingkan institusi kekeluargaan melalui kasih sayang dan hormat-menghormati.
Seeloknya apa-apa hukuman jika ingin dikenakan sekalipun, ia perlu melalui modus operandi yang adil dan saksama untuk semua pihak.
Jika hukuman itu dikenakan secara rakus tanpa diberi peluang oleh waris untuk membela diri, institusi kekeluargaan mereka berkemungkinan besar boleh goyah dan rapuh.
“Kita perlu tahu yang negara kita ini bukan seperti negara Amerika Syarikat yang apabila anak itu sudah dewasa, mereka bebas menentukan hidup mereka tanpa terlampau mengambil berat ibu bapa mereka”.
“Kerajaan perlu memastikan hukuman itu boleh menjadikan hubungan institusi kekeluargaan tetap erat dan boleh dibaiki antara waris dan ibu bapa”
Ketika ditanya tentang persediaan Malaysia menuju ke arah negara tua menjelang 2030, beliau berpendapat Malaysia seakan masih lagi belum bersedia untuk ke arah itu secara sepenuhnya.
“Cuba kita lihat Jepun dan Amerika Syarikat. Jepun mengambil masa 15 tahun untuk bersedia menjadi negara tua. Amerika Syarikat mungkin lebih lama lagi dan sekarang kedua-dua negara ini sudah mencapai tahap kebersediaan yang tinggi sebagai negara tua”.
“Kita di Malaysia hanya peruntukkan 7 tahun daripada sekarang untuk menjadi negara tua pada 2030. Saya tidak rasa kita sudah serius ke arah itu dan masih banyak lagi dasar dan polisi yang boleh dikemukakan oleh kerajaan selain daripada RUU Warga Emas ini”, jelas beliau.
Justeru, beliau berpendapat kerajaan boleh mempertimbangkan untuk mewujudkan satu kementerian khas untuk memantau rapat isu warga emas ini sepertimana Kementerian Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) ditugaskan untuk menyelia isu wanita secara amnya.
Selain itu, kerajaan sepatutnya melihat sama ada kemudahan, fasiliti dan polisi sedia ada sudah membantu nasib warga emas ini terbela atau sebaliknya.
Ini kerana golongan anak-anak ini bukannya ada yang bertindak mengabaikan ibu bapa dengan sengaja tetapi keadaan yang mendesak seperti ekonomi menyebabkan timbulnya isu pengabaian.
Terdahulu, KPWKM mencadangkan untuk RUU Warga Emas dibentangkan di Parlimen tahun hadapan dalam usaha kebajikan warga emas untuk terus terjaga.
Ini selaras dengan persedian Malaysia untuk menuju negara tua pada 2030.