GOMBAK, 28 Jun — Program Healing Magenta dianjurkan bagi meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan menjaga kesihatan mental serta membekalkan peserta dengan panduan praktikal untuk mengurus tekanan dan mengelakkan gejala burnout.
Program itu berlangsung di Taman Tasik Sri Gombak dengan aktiviti kerohanian, perkongsian pengalaman dan terapi kreatif.
Kesihatan mental tanggungjawab bersama
Penganjur, Puan Fara Izmyra berkata, kesihatan mental bukan hanya isu individu yang berdepan masalah psikologi, tetapi tanggungjawab seluruh masyarakat demi kesejahteraan hidup.
“Ramai yang berdepan tekanan akibat tuntutan kerja, keluarga dan kehidupan seharian sehingga tanpa disedari mengalami keletihan emosi atau burnout. Justeru, masyarakat perlu mempunyai kesedaran untuk mengenali tanda-tandanya lebih awal serta mengetahui cara menguruskannya,” katanya.
Menurut penganjur, peserta turut dikongsikan tip mengelakkan burnout seperti mengimbangi kerja dan kehidupan, berehat secukupnya, mengurus emosi secara sihat serta mendapatkan sokongan apabila diperlukan.
Kesedaran awal dan sokongan komuniti dilihat mampu mengurangkan risiko masalah kesihatan mental menjadi lebih serius.
Aktiviti santai perkukuh sokongan komuniti
Program turut diisi dengan tadabbur al-Quran, circle sharing, aktiviti kreatif, terapi mewarna dan sesi santai berkonsepkan berkelah.
Bertemakan “Pulih – Perkasa – Berjasa”, program itu membawa mesej bahawa pemulihan memerlukan kekuatan individu serta sokongan komuniti yang prihatin.
Selari agenda pembangunan modal insan BINA2040
Program itu selari dengan teras Pendidikan & Modal Insan BINA2040 yang membentuk modal insan budiman, berintegriti dan berdaya saing
BERJASA melihat kesejahteraan mental sebagai asas pembentukan modal insan berkualiti yang menyumbang kepada keluarga, komuniti dan negara.
Program itu mencerminkan teras Identiti & Perpaduan Nasional berasaskan sokongan komuniti serta nilai Watan, Hikmah dan Wibawa yang dibawa BERJASA.
Penganjur berharap program itu mengurangkan stigma kesihatan mental dan menggalakkan masyarakat mendapatkan bantuan serta sokongan.