Pasca wabak Covid-19 telah mengubah fenomena ekonomi global apabila semakin popularnya ekonomi gig di seluruh dunia termasuk Malaysia. Malahan ekonomi gig Malaysia kian mendapat tempat sehingga sekarang.
Hal ini tidak menghairankan kerana sudah banyak syarikat ataupun perusahaan yang gulung tikar sehingga terpaksa membuang ramai pekerja susulan penularan wabak Covid-19.
Maka para pekerja yang dibuang ini membuat keputusan untuk mendaftarkan diri sebagai pekerja gig dengan syarikat gig seperti Grab, Shopeefood, Food Panda dan Lala Move kerana mudah untuk diterima masuk bekerja.
Mereka hanya memerlukan sebuah motorsikal atau kereta untuk menjadi pekerja gig dan syarat ini mudah untuk dipenuhi oleh semua orang hinggakan remaja yang masih belajar di sekolah ataupun universiti boleh memohon serta mendaftarkan diri untuk bekerja.
Namun demikian, wujud perdebatan di khalayak umum sama ada pekerjaan di dalam ekonomi gig ini membawa manfaat kepada pekerja ataupun hanya mendatangkan beban berganda kepada mereka ini.
Apakah Prospek Positif Ekonomi Gig Kepada Pekerja?
Rata-rata pekerja gig memberikan respon tentang keputusan mereka memilih pekerjaan ini adalah disebabkan oleh fleksibiliti masa sewaktu bekerja.
Mereka melihat pekerja gig seperti mereka boleh memilih waktu bekerja sendiri dan membolehkan mereka mengimbangi masa antara kerja serta kehidupan peribadi dengan lebih baik.
Corak waktu bekerja ini amat diminati oleh orang muda kerana mereka merasa bebas dan tidak terlalu dibebani dengan tugasan yang banyak.
Menceburi ekonomi gig juga membolehkan rakyat Malaysia untuk menjana pendapatan tambahan di luar waktu pekerjaan tetap mereka.
Misalnya, mereka boleh menjadi penghantar makanan ataupun pemandu e-hailing selepas selesainya waktu bekerja mereka. Kebiasannya mereka akan melakukan pekerjaan sebagai pekerja gig di waktu malam untuk mendapatkan pendapatan tambahan.
Menurut laporan The Star, kiraan kasar pendapatan yang boleh diperolehi oleh pekerja gig adalah di antara RM3,000 hingga RM4,000 sebulan namun ia bergantung kepada bilangan jam kerja, lokasi dan permintaan untuk perjalanan.
Hal ini boleh dikatakan rata-rata rakyat Malaysia lebih cenderung memilih untuk menceburi ekonomi gig atas faktor kebebasan waktu bekerja dan hasil pulangan pendapatan yang lumayan mereka dapat peroleh.
Ekonomi Gig Tidak Menjanjikan Perkara Yang Manis Sahaja
Ekonomi gig dikatakan banyak menjanjikan perkara yang manis lebih-lebih lagi dalam soal masa bekerja yang felksibel dan bebas menambah pendapatan tambahan.
Kata kuncinya di sini ialah “bebas” yang amat diminati untuk didengar oleh ramai pihak. Mereka fikir kebebasan membuat keputusan dalam bekerja ini bermakna mereka bebas daripada tekanan ataupun stress sewaktu bekerja.
Namun demikian, mereka harus sedar bahawa pekerjaan gig ini juga mempunyai sisi hitamnya yang tersendiri.
Faktanya, pekerja gig tidak dilindungi di dalam Akta Kerja 1955 yang akhirnya tidak melayakkan mereka untuk mendapatkan caruman wang simpanan KWSP.
Hal ini demikian kerana mereka bukannya pekerja sepenuh masa di bawah syarikat ataupun organisasi yang mereka kerja walaupun ada di kalangan pekerja ini dikenali sebagai pekerja sepenuh masa.
Jika pekerja gig ditimpa kemalangan sewaktu bekerja, mereka tidak akan menerima manfaat seperti insurans kesihatan, cuti berbayar dan caruman KWSP seperti yang diterangkan di atas.
Hal ini boleh menjejaskan kestabilan kewangan mereka dalam jangka masa panjang terutamanya untuk persediaan persaraan mereka nanti.
Selain itu, mereka juga berhadapan dengan persaingan yang tinggi dalam platform pekerjaan yang sama.
Sebagai contohnya, pekerja penghantar makanan terpaksa bersaing sesama sendiri untuk mendapatkan pesanan daripada pelanggan dan persaingan ini menjadi tinggi terutamanya di kawasan bandar besar.
Persaingan yang tinggi ini akhirnya menyebabkan mereka berisiko untuk menghadapi tekanan ketika bekerja.
Selain daripada tekanan akibat persaingan ini, mereka juga berdepan dnegan tekanan yang tinggi untuk bekerja dalam jangka masa panjang bagi memastikan mereka boleh mencapai sasaran pendapatan yang ingin mereka peroleh.
Mereka akan berasa penat kerana bekerja secara lebih masa dan berisiko menjejaskan kesihatan mental serta fizikal.
Ekonomi gig menawarkan peluang besar untuk kebebasan dan pendapatan tambahan, tetapi ia juga menuntut disiplin, perancangan kewangan yang baik, dan kesediaan untuk menghadapi ketidakpastian.
Pekerja gig perlu menimbang kebaikan dan keburukan ini untuk membuat keputusan yang terbaik bagi masa depan kerjaya mereka.