Puchong – Kenyataan Menteri Komunikasi Dan Digital, Fahmi Fadzil yang menuduh media berita tempatan mengambil sumber tilikan dan tidak sahih dalam mengatakan kenaikan harga barang dijangka naik sebanyak 20 peratus bermula Ogos nanti adalah satu penafian kosong semata-mata.
Beliau seakan-akan takut terhadap bayang-bayang sendiri yang menampakkan situasi kegawatan ekonomi kini serius berlaku di bawah pentadbiran Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Penafian yang dibuat pula banyak bersandarkan kepada hasil usaha dan ikhtiar Kerajaan Perpaduan yang telah berjaya menurunkan kadar inflasi yang dikaitkan dengan kenaikan harga barang daripada 3.3 peratus pada April kepada 2.8 peratus pada Mei.
Antara faktor lain yang beliau ambil kira adalah suku pertama tahun ini yang menyaksikan pertumbuhan ekonomi yang sangat rancak iaitu 5.6 peratus dan kadar ini adalah lebih rancak dari China, Singapura dan Indonesia.
Ketua Pemuda BERJASA, Fahmi Bazlan ketika dihubungi oleh Gelombang BERJASA berkata, Fahmi Fadzil seakan masih berada di dalam “denial syndrome” yang ingin menafikan segala kelemahan kerajaan kini sehingga tidak dapat menerimanya.
Tambah beliau, ini bukan kali pertama Fahmi Fadzil mengeluarkan kenyataan sedemikian kerana sebelum ini kenyataan yang hampir serupa pernah dilontarkan melibatkan isu kenaikan kadar dasar semalaman (OPR). Beliau menuduh media memetik isu yang boleh menimbulkan fitnah dan berniat jahat.
“Fahmi Fadzil sepatutnya sedar bahawa kegawatan ekonomi ini sememangnya berlaku di Malaysia sehingga menjejaskan nilai mata wang Ringgit. Saya hairan mengapa beliau berkata ini satu tilikan yang tidak berasas kerana menampakkan beliau ini tidak merasai realiti yang sebenarnya”.
“Beliau harus faham menjadi tanggungjawab ahli dan penganalisis ekonomi untuk melakukan “forecast” bagi kegunaan institusi-institusi kewangan dan pelaburan seterusnya menjadi input maklumat kepada pelabur luar sekali”.
“Adakah di sini beliau ingin mengatakan analisis yang dibuat oleh ahli ekonomi itu sebagai satu tilikan? Itu saya kenyataan yang bodoh dan tidak wajar kerana menafikan tugas dan dapatan mereka seakan menampakkan kita menolak maklumat yang diyakini kesahihannya daripada ahli di dalam sesuatu bidang itu”, jelas beliau.
Dalam satu temu ramah yang dijalankan oleh Utusan Malaysia bersama Presiden Dewan Perniagaan dan Industri India KL dan Selangor (KLSICCI), Nivas Ragavan berkata, harga barangan pengguna dijangka naik sehingga 20% menjelang Oktober ini akibat inflasi import & peningkatan kos operasi perniagaan di Malaysia.
“Kesannya harga produk di peringkat pengguna juga akan meningkat dan saya meramalkan pada suku ketiga ini, harga barangan pengguna akan meningkat sekurang-kurangnya 20 peratus. Jika sebelum ini ada produk yang dijual pada harga RM10, sekurang-kurangnya meningkat kepada RM12 hingga RM12.50,” jelas Nivas Ragan.
Datuk Ameer Ali Mydin, pengarah urusan pasar raya besar tempatan dan rangkaian runcit Mydin, juga meramalkan harga barangan pengguna boleh naik antara 5 dan 10 peratus bermula bulan depan atau September, kerana produk import biasanya mengambil masa untuk sampai ke negara ini.