Oleh NSM
NILAI, 23 Julai – Keadaan Pasar Awam Sementara Taman Semarak yang masih beroperasi sebagai pasar “sementara” selepas bertahun-tahun menjadi antara isu utama dibangkitkan penduduk kepada calon BERJASA Dewan Undangan Negeri (DUN) N10 Nilai, Ustaz Zamani Ibrahim, ketika beliau mengadakan tinjauan di pasar itu hari ini.
Dalam sesi bertemu peniaga dan pengunjung, Zamani berkata isu kemudahan awam perlu diberi perhatian seiring pembangunan pesat Nilai sebagai sebuah bandar moden.
Beliau berkata, sekiranya diberi mandat sebagai wakil rakyat, usaha menaik taraf pasar tersebut akan menjadi antara keutamaannya bagi menyediakan kemudahan yang lebih selesa kepada peniaga dan orang ramai.
“Saya mahu memastikan Pasar Awam Sementara Taman Semarak tidak lagi kekal sebagai pasar sementara. Nilai sedang berkembang sebagai sebuah bandar moden, maka kemudahan awam seperti pasar juga perlu dinaik taraf supaya setanding dengan pembangunan kawasan ini,” katanya.
Persoal status pasar sementara
Menurut Zamani, sebuah pasar awam yang moden bukan sahaja memberi keselesaan kepada peniaga, malah menyediakan persekitaran yang bersih, tersusun dan selamat kepada penduduk mendapatkan bekalan makanan.
Beliau mempersoalkan mengapa pasar itu masih berstatus sementara walaupun telah beroperasi sejak sekian lama.
“Jika benar pasar ini hanya bersifat sementara, mengapa sehingga hari ini tiada usaha menyeluruh untuk menjadikannya sebuah pasar kekal yang lebih selesa? Peniaga dan pembeli berhak menikmati kemudahan yang lebih baik,” katanya.
Bekas guru itu turut berkata wakil rakyat perlu memainkan peranan secara konsisten dengan mendengar masalah penduduk serta memperjuangkan penyelesaian, bukan hanya turun padang ketika musim pilihan raya.
Peniaga harap naik taraf menyeluruh
Seorang peniaga ikan yang hanya mahu dikenali sebagai Ah Seong berkata keadaan pasar itu tidak banyak berubah sepanjang 15 tahun beliau berniaga di situ.
Menurutnya, kerja-kerja yang dilakukan sebelum ini hanya melibatkan pembaikan kecil dan bukannya pembangunan secara menyeluruh.
“Saya dah berniaga 15 tahun. Dari dulu sampai sekarang keadaannya lebih kurang sama sahaja. Kalau ada yang datang, mereka hanya baiki sedikit-sedikit. Sebelum ini mereka baiki bumbung, tetapi bukan naik taraf secara keseluruhan,” katanya.
Beliau berharap pihak berwajib dapat membangunkan pasar itu sebagai sebuah pasar awam yang lebih moden, bersih dan selesa demi manfaat peniaga serta penduduk sekitar.
Kempen diteruskan di Pasar Malam Nilai Perdana
Pada sebelah petang, Zamani meneruskan siri kempennya di Pasar Malam Nilai Perdana dengan bertemu peniaga dan pengunjung.
Beliau kemudian menunaikan solat Maghrib dan Isyak di Surau Jumaat Taman Desa Melati sebagai sebahagian daripada jadual kempen hari kelima Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.