Bukan Parti Kuat, BN Umpama Buah Catur – Zamani Ibrahim

Presiden BERJASA Zamani Ibrahim

Bangi – Kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor baru-baru ini bukanlah menggambarkan ia sebagai parti yang kuat, sebaliknya boleh diumpamakan seperti buah catur yang digerakkan oleh tangan pemain catur.

Presiden BERJASA, Ustaz Zamani Ibrahim berkata, biarpun UMNO memenangi 33 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), namun parti yang didakwa keramat itu tidak mampu untuk memilih seorang Menteri Besar.

“Sebaliknya, Presiden UMNO dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor ‘terpaksa’ tunduk kepada kuasa luar di belakang UMNO dalam menentukan siapa Menteri Besar Johor yang ke 19.

“Keadaan ini jelas menunjukkan parti tersebut tidak akan berani membawa agenda agama, bangsa Melayu sebagai bangsa tonggak.

“Sebaliknya terpaksa mengikut telunjuk kuasa luar yang menentukan Menteri Besar sekarang,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap, Datuk Onn Hafiz Ghazi, sebagai Menteri Besar Johor ke-19.

Ustaz Zamani menegaskan, agenda rakyat kini bukan lagi menjadi keutamaan kerajaan walaupun BN memenangi dua pertiga DUN.

“Inilah hakikat kelemahan BN khususnya UMNO itu sendiri, parti yang besar saiz ahlinya tetapi dipimpin oleh pemimpin yang tiada agenda besar.

“Agenda yang ada hanya ingin berkuasa tetapi kuasa yang diperolehi hanya untuk merealisasikan kehendak kuasa luar yang menjadi pencatur utama,” katanya.

Malah, Ustaz Zamani memberikan bukti bahawa kegagalan melantik seorang Menteri Besar yang sepatutnya telah ditentukan oleh pimpinan tertinggi, melambangkan UMNO parti yang dicaturkan.

‘’Oleh itu, yang menang PRN Johor baru-baru ini hakikatnya bukanlah BN tetapi kuasa luar yang tidak langsung terlibat dengan PRN tersebut,” katanya.

Semalam, cicit kepada Pengasas dan Presiden UMNO, Datuk Onn Jaafar, iaitu Datuk Onn Hafiz Ghazi sah dilantik menjadi Menteri Besar Johor ke-19.

Beliau menerima surat tauliah pelantikan dan melafazkan sumpah menyandang jawatan dalam Istiadat Penyerahan Surat Tauliah dan Pengisytiharan Pelantikan Menteri Besar Johor yang berlangsung di Balai Menghadap Istana Bukit Serene, sebelum mengangkat sumpah jawatan di hadapan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar.

Sumber : Ismaweb

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post
Ir Ts Lukman Al Hakim Naib Presiden BERJASA

Tak Perlu Tergesa-Gesa Adakan PRU15 Selepas Menang PRN Johor – Ir Ts Lukman Al Hakim

Next Post
Ir Lukman Al Hakim BERJASA

Kos PRN Melaka, Johor Mampu Tampung 100 Keluarga Seumur Hidup! – Ir Ts Lukman Al Hakim

Related Posts