Tak Perlu Tergesa-Gesa Adakan PRU15 Selepas Menang PRN Johor – Ir Ts Lukman Al Hakim

Ir Ts Lukman Al Hakim Naib Presiden BERJASA

Bangi – Meskipun kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sudah dijangka, kejayaan menawan 40 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) amat mengejutkan.

Setiausaha Agung BERJASA, Ir Ts Muhammad Lukman Al Hakim berkata, walaupun dengan peratus keluar mengundi yang rendah sekitar 54.9 peratus sahaja – lebih rendah dari PRN Melaka yang lalu – kemenangan BN ini harus dihormati semua kerana ia berlandaskan sistem demokrasi negara yang sah.

Bagi beliau, keputusan itu bukan sesuatu yang pelik sebaliknya ia boleh difahami kerana Johor adalah ‘negeri kelahiran’ UMNO yang merupakan parti utama bagi BN.

Pun begitu, katanya, pimpinan UMNO tidak sepatutnya rasa selamat selepas kemenangan selesa di Melaka dan Johor serta tergesa-gesa untuk mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) secepat mungkin sementara ‘sokongan rakyat masih kuat’ untuk mereka.

“Pertama, seperti yang saya katakan di awal tadi peratus keluar mengundi amat rendah. Kebanyakan yang tidak keluar mengundi ialah pengundi muda di luar kawasan yang malas balik mengundi, mungkin kerana merasakan ianya tidak berbaloi.

“Kedua, jika undi PN dan PH atau MUDA digabungkan, BN hanya akan menang di 19 DUN berbanding 40 DUN yang mereka menangi.

“Ini bermakna BN akan kalah jika pertandingan dua penjuru berlaku dalam PRU15 nanti, walaupun kemungkinan ini tidaklah begitu mudah untuk direalisasikan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Lukman berkata, tidak mustahil keputusan kali ini hanya fenomena sementara kemarahan rakyat Johor yang tidak berpuas hati dengan prestasi kerajaan negeri PH (hanya menang 12 kerusi) dan PN (hanya menang 3 kerusi) sebelum ini.

Beliau turut berpendapat kemenangan BN ini adalah indikator bahawa rakyat mengharapkan perubahan UMNO, seperti ‘menolak’ pemimpin tertinggi parti yang telah tercalar integriti – Datuk Seri Najib Razak dan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Boleh jadi mereka ingin memberikan UMNO dan BN peluang kedua. Namun, harus diingat kedua-dua individu ini masih bebas dan merupakan Ahli Parlimen yang sah.

“Mesej rakyat ini pula berkemungkinan disalahfahami oleh Presiden UMNO yang merasakan beliau masih relevan dan merupakan faktor ‘kebangkitan semula’ UMNO lantas menguatkan lagi keazamannya untuk kekal berkuasa,” katanya.

Bimbang sekiranya situasi itu berlaku, Lukman menegaskan, akar umbi UMNO harus mendesak pemilihan parti diadakan sebelum PRU15 dan menolak individu bermasalah sebegini bagi merealisasikan aspirasi rakyat yang menginginkan kerajaan yang bersih.

Sementara itu, beliau mengingatkan bahawa undang-undang permainan PRN dan PRU amat berbeza.

Katanya, walaupun calon Pejuang, Bebas, Warisan, PBM, PUTRA dan PSM hilang wang deposit, ia bukan bermakna semua parti-parti kecil dan baharu tiada harapan langsung dalam PRU akan datang.

“Mesej penting yang BN perlu fahami dari PRN Melaka dan Johor ialah rakyat kini sudah semakin matang menilai kewibawaan calon, bukan semata-mata memangkah parti.

“Jika parti-parti baharu yang kecil ini mampu membentuk jajaran politik lebih ampuh dengan calon yang hebat, tidak mustahil mereka akan mampu membuat kejutan,” katanya.

Sumber – Ismaweb

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post
Presiden Berjasa Zamani Ibrahim

PRN Johor: Rakyat Nantikan Agenda Kesatuan Melayu, Islam Diangkat – Zamani Ibrahim

Next Post
Presiden BERJASA Zamani Ibrahim

Bukan Parti Kuat, BN Umpama Buah Catur – Zamani Ibrahim

Related Posts