BANGI – Orang Melayu dan Bumiputera mempunyai kuasa beli yang tinggi maka gerakan boikot yang digerakkan oleh golongan ini amat ditakuti oleh pemain-pemain industri. Gerakan boikot yang dibawa oleh kumpulan kuasa beli yang tertinggi ini mampu memberikan kerugian yang besar kepada syarikat mereka.
Demikian kenyataan yang dikeluarkan oleh Presiden BERJASA, Zamani Ibrahim yang mengupas isu berkenaan rayuan KK Mart untuk tidak memboikot mereka setelah permohonan maaf dibuat. Rayuan yang diluahkan oleh pihak pengurusan tertinggi KK Mart ini menunjukkan secara jelas bahawa kuasa beli orang Melayu amat tinggi berbanding kaum yang lain.
Beliau berkata permohonan maaf yang dibuat itu seakan melepaskan batuk di tangga sahaja dan menganggap isu itu telah selesai. Namun untuk kali ini, beliau menyeru orang Melayu untuk ‘mengajar’ mereka dengan memanfaatkan kuasa beli mereka untuk mengajar taikun ini.
“Bagi saya kali ini bukan selesai sahaja jalan penyelesaiannya. Tunjukkan kita ada kuasa yang besar yang mana kita telah berbelanja sebanyak RM109 billion sebulan. Ini tunjukkan kuasa beli kita amat besar”.
“Namun sayangnya kuasa beli kita diberikan kepada taikun-taikun bukan orang Melayu. Kerajaan juga telah menindakkan peluang pemain industri orang Melayu dengan memindahkan kepada taikun bukan Melayu. Sebagai contoh dalam isu beras dengan menamatkan dominasi Syed Mokhtar Bukhari padahal taikun-taikun lain yang dominasi gula tidak pula dibuat tindakan yang sama”.
“Akibatnya masalah bekalan beras tempatan mula timbul selepas itu dan wujudnya isu bekalan beras campur. Ini menampakkan perlindungan yang diberikan kepada taikun kepada Melayu mendatangkan kerugian kepada kita sedangkan kuasa beli kita paling tinggi”, tegas beliau.
Selain itu, beliau berkata taikun-taikun ini menggunakan kuasa beli orang Melayu untuk mengkayakan mereka dan langsung tidak menghiraukan nasib orang Melayu. Maka kali ini beliau menyeru untuk orang Melayu gunakan kuasa beli mereka dengan menyokong perniagaan milik orang Melayu dan Islam sendiri.
“BERJASA bersetuju dengan seruan Ketua Pemuda UMNO, Dr. Akmal Salleh untuk memboikot KK Mart tetapi pendapat saya ingin mengatakan bukan KK Mart sahaja perlu diboikot malahan entiti perniagaan lain milik taikun bukan Melayu juga patut diajar dengan cara yang sama. Ini negara kita dan ajar mereka bahawa Islam adalah agama Persekutuan negara kita”, kata beliau.