Himpunan Turun Anwar: Sentimen Rakyat Semakin Jelas

himpunan turun anwar

Penganjuran Himpunan Turun Anwar oleh pihak pembangkang jelas menunjukkan sentimen rakyat yang tidak berpuas hati terhadap kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim semakin jelas kelihatan.

Acara yang diadakan sebagai manifestasi ketidakpuashatian terhadap prestasi pentadbiran Datuk Seri Anwar Ibrahim telah berjaya menghimpunkan puluhan ribu peserta himpunan.

Mereka memakai pakaian berwarna hitam bersama sepanduk yang menunjukkan mesej mereka sudah mula muak dengan kerajaan kini.

Apa yang jelas ialah desakan untuk Datuk Seri Anwar Ibrahim turun adalah bukan bersandarkan kepada isu Melayu terancam atau sebagainya namun ia sebagai bentuk bangkangan kepada beliau yang dahulunya begitu mengangkat perjuangan reformasi.

Janji reformasi yang dilaungkan oleh beliau dahulu semakin tidak nampak bayangnya dan beliau lebih gemar bermain politik sahaja demi kelangsungan politiknya.

Apa Yang Menyebabkan Rakyat Sertai Himpunan Turun Anwar?

Faktor terbesar yang menyebabkan rakyat terpanggil untuk turun ke himpunan ini ialah lebih kepada rasa tidak puas hati mereka terhadap ekonomi negara.

Sentimen berkaitan ekonomi seperti isu subsidi dan kos sara hidup adalah naratif yang secara utama dimainkan oleh pihak pembangkang.

Rakyat merasa terbeban dengan kenaikan kos sara hidup kini walaupun kadar gaji minimum sudah pun dinaikkan kepada RM1,700 bermula 1 Ogos nanti.

Namun itu tidak bermaksud kesempitan ekonomi yang dirasai oleh mereka akan selesai kerana gaji yang diperoleh tidak sepadan dengan harga barang sekarang.

Malaysia memang sedang mengalami inflasi tetapi pada kadar yang rendah dan terkawal yang mana berdasarkan data terkini sehingga Jun 2025, kadar inflasi Malaysia adalah sekitar 1.1% hingga 1.2%.

Bukan setakat isu ekonomi sahaja malahan isu ketelusan dalam pentadbiran beliau juga menjadi sasaran rakyat dan pihak pembangkang melepaskan kemarahan.

Bermula isu krisis Nurul Izzah dengan Rafizi untuk merebut jawatan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan krisis kehakiman, rakyat melihat beliau bukannya seorang reformis sejati seperti yang didakwa oleh beliau dahulu.

Ketua Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Abdul Rahman Sebli mendakwa wujud campur tangan dalam urusan badan kehakiman yang mana beliau telah ditekan oleh salah seorang “anggota kanan badan kehakiman” untuk mengubah pendapat kehakimannya dalam kes cabaran larangan oleh bekas ahli Parlimen, Maria Chin Abdullah.

Jelas sentimen mahupun naratif dalam Himpunan Turun Anwar adalah bukan sekadar sentimen Melayu terancam seperti yang dimainkan oleh pembangkang dulu seperti tahun 2018 lalu kerana kini timbul isu yang lebih besar lagi iaitu keraguan terhadap kompitensi Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Perdana Menteri Malaysia.

Tidak Turun, Namun Popularitinya Terjejas

Himpunan ini tidak pun menunjukkan kedudukan Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Perdana Menteri tergugat memandabgkan beliau dan barisan kabinet kerajaannya masih mempunyai tempoh 2 tahun lagi sebelum menuju ke Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16).

Walaubagaimanapun, himpunan ini memberi isyarat jelas beliau masih belum berjaya untuk memenangi hati sebahagian pengundi Melayu walaupun telah berjaya menarik UMNO untuk masuk ke dalam kabinet kerajaanya.

Hal ini menjadi medan ujian kepada beliau untuk merangka strategi bagi memenangi negeri milik Perikatan Nasional (PN) di Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis dengan mudah tetapi melihat kepada himpunan ini, nampaknya ia kelihatan sukar.

Fenomena ini akan memperlihatkan mungkin tidak banyak yang berubah untuk keputusan PRU-16 nanti dengan PRU-15 yang lalu.

Parti politik masing-masing akan sukar untuk mendapatkan kemenangan dengan majoriti mudah dan memerlukan kerjasama politik rentas parti untuk membentuk kerajaan.

Apa yang membezakannya adalah sama ada kerusi parti yang dimenangi kini akan semakin berkurang atau bertambah sahaja.

PN perlu melihat peluang ini dengan pantas memandangkan masih ramai pengundi Melayu yang menyokong mereka walaupun digambarkan sebagai parti yang krisis idea untuk pembangunan ekonomi.

Mereka perlu mulakan langkah dengan memberikan kabinet bayangan kepada rakyat dan antara tumpuan ramai ialah siapakah Perdana Menteri yang ingin mereka angkat daripada blok pembangkang.

Berbaki lagi 2 tahun sebelum PRU-16 dan kerajaan kini mungkin sudah berkira-kira bilakah tarikh sesuai untuk membubarkan Parlimen melihat kepada gelombang rakyat daripada himpunan ini.

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

pil Prep: KKM Perlu Hentikan Akses yang Mudah

Next Post
ambalat

Ambalat: Selain Kaya Sumber Mineral, Wajar Dipertahankan Demi Kelangsungan Rezeki Nelayan

Related Posts