Shah Alam – Pembentangan Bajet 2023 akan bermula tidak kurang daripada beberapa minit sahaja lagi.
Ketua Penerangan BERJASA, Mohd Hamdan melihat ini masanya yang sesuai untuk kerajaan membentangkan perancangan dan bantuan bagi menangani kos inflasi.
Bagi beliau, kerajaan wajar mengeluarkan perbelanjaan yang besar bagi memberikan subsidi untuk barang keperluan asas dengan harapan ia mampu menyerap kesan inflasi dan mengurangkan kejutan inflasi mendadak.
Tindakan ini menurut beliau mungkin agak tidak popular memandangkan ahli ekonomi menegaskan agar kerajaan berhemah dalam berbelanja namun kerajaan sepatutnya sudah mula mencari pendapatan daripada sumber alternatif dalam sektor-sektor baharu seperti sumber nadir bumi atau ‘rare earth’.
Tambah beliau, kerajaan juga sepatutnya mempertimbangkan bantuan bersasar untuk golongan B40 dan juga menyediakan sistem sokongan untuk golongan M40 dan T20 dengan mekanisme perlaksanaan beransur – ansur.
Menyentuh soal bantuan kepada rakyat, beliau sedar golongan peniaga juga terkena tempiasnya kerana tiada inisiatif diberikan kepada mereka seperti Menu Rahmah yang diperkenalkan khusus untuk rakyat.
“Saya berpandangan kerajaan perlu sokong para peniaga terutama peniaga kecil untuk mengharungi fasa sukar. Ini boleh dibuat dengan melaksanakan pelan untuk mengawal kos sara hidup, kenalpasti punca akar kepada isu, dan selesaikannya setelah meneliti punca kenaikan harga. Apa-apa pun ia berbalik kepada kos bahan mentah itu sendiri”, kata beliau.
Menutup pedapatnya , beliau akhir sekali berharap pelaburan langsung negara luar juga perlu diberi perhatian untuk mengukuhkan matawang dan ekonomi secara keseluruhannya.
Kerajaan sebolehanya perlu menyediakan pelan yang menarik seterusnya mampu mempertengahkan tenaga kerja dan pakar tempatan.
Bajet 2023 ataupun dinamakan sebagai Belanjawan Malaysia Madani akan dibentangkan oleh Perdana Menteri, Dato Seri Anwar Ibrahim di Parlimen pada pukul 4.00 petang seperti yang telah dijadualkan.