Sumber nadir bumi (REE) sejak kebelakangan ini rancak dibincangkan di Malaysia yang mana ia berpotensi membawa kepada manfaat yang besar kepada negara.
Kerajaan dan rakyat masing-masing akan menerima manfaat yang banyak iaitu kerajaan mampu menjana pelaburan yang besar dan seterusnya mampu menyediakan peluang pekerjaan yang berkemahiran tinggi kepada rakyat.
REE atau nama penuhnya “rare earth elements” dijangka berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) melebihi 10% dari tahun 2023 hingga 2030.
Jika Malaysia berjaya memanfaatkan sepenuhnya deposit REE, nilai pelaburan dalam sektor ini boleh mencapai berbilion ringgit bergantung kepada kapasiti pengeluaran dan pasaran global.
Sebagai contoh, laporan dari Pusat Pelaburan Malaysia (MIDA) menunjukkan bahawa pembangunan sektor REE menyumbang kira-kira RM100 bilion dalam tempoh 10 tahun jika potensi penuh digerakkan.
Kerajaan dalam pembentangan Belanjawan 2025 baru-baru ini ada menyentuh soal industri unsur nadir bumi (REE) dan kelihatan serius untuk membangunkannya ke tahap yang lebih tinggi.
Kerajaan Pelawa China Dan Australia Untuk Bangunkan Industri Nadir Bumi REE Malaysia
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pembentangannya mengatakan bahawa kerajaan mempelawa untuk melakukan kerjasama dengan negara China dan Australia untuk membangunkan bersama sumber REE ini di Malaysia.
Hal ini kerana negara masih tidak mempunyai teknologi yang cukup tinggi untuk menguruskan sumber ini secara sendirian maka China dan Australia yang mempunyai keupayaan teknologi yang canggih dipelawa oleh kerajaan.
Kerjasama ini dilihat sebagai langkah awal untuk kerajaan serius terhadap sektor ini namun ia perlu dipastikan membawa keuntungan kepada Malaysia bukan hanya kepada dua buah negara tersebut sahaja.
Semestinya rakyat tidak mahu hasil negara dibolot oleh negara luar tanpa membawa keuntungan kepada negara.
Bukan itu sahaja malahan kerajaan perlu mengambil peluang ini untuk melakukan pemindahan teknologi agar Malaysia mampu membangunkan teknologi sendiri untuk menguruskan sumber REE tanpa bantuan negara luar.
Semangat kedaulatan sumber dan hasil negara perlu disematkan oleh kerajaan bagi memastikan sumber mineral yang berharga ini mampu dimanfaatkan untuk kebaikan negara dan rakyat.