REMBAU – Isu penyerahan pegangan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) kepada syarikat asing terus mencetuskan keresahan dalam kalangan rakyat yang cintakan tanah air. Presiden BERJASA, Ustaz Zamani Ibrahim berkata, “Diibaratkan sebuah rumah, pintu utama adalah aspek paling dijaga dan dikawal rapi agar tidak dibolosi sebarang anasir luar. Begitu juga sesebuah negara yang mempunyai pintu masuk menerusi udara, darat dan laut yang perlu dipastikan sentiasa selamat dan terkawal”.
Menurutnya lagi, apabila timbul persoalan mengenai keputusan kerajaan menyerahkan 30% pegangan MAHB kepada syarikat berpangkalan di Amerika Syarikat, BlackRock, ramai pihak mempertikaikan rasional tindakan tersebut. Mereka mempersoalkan keperluan penglibatan syarikat asing sedangkan MAHB kini menunjukkan prestasi baik dan tidak mengalami kerugian teruk. Lebih membimbangkan, langkah ini seolah-olah membuka ruang kepada campur tangan luar dalam sektor strategik negara.
Perdana Menteri ketika menjawab isu tersebut menjelaskan bahawa kedaulatan negara tidak tergadai kerana aspek keselamatan masih dikawal agensi-agensi negara seperti kastam, imigresen dan kawalan udara. Namun, penjelasan itu dianggap tidak memuaskan oleh sebahagian rakyat yang berfikir jauh tentang masa depan negara, terutama dalam soal keselamatan dan pengoperasian lapangan terbang yang merupakan pintu masuk utama negara.
Persoalan utama yang masih belum terjawab ialah mengapa kerajaan terpaksa menyerahkan pegangan kepada BlackRock? Adakah negara sudah terdesak sehingga tidak mampu mencari kepakaran dalam negara sendiri untuk menguruskan operasi MAHB? Kebimbangan turut timbul sekiranya wujud tawar-menawar antara pihak berkuasa negara dengan kuasa luar yang mempunyai kepentingan tersembunyi.
Rakyat mahukan sebuah parti yang memimpin negara ini bebas daripada kongkongan kuasa asing. Jika parti yang berkuasa terikat dengan kepentingan luar, maka ia akan menjadi ancaman besar kepada kedaulatan negara. Perdana Menteri sepatutnya memberi jawapan yang meyakinkan kepada rakyat, khususnya generasi yang sayangkan negara, namun sehingga kini penjelasan yang diberi masih jauh daripada apa yang diharapkan.