Bangi – Satu kontroversi tercetus apabila Majlis Sambutan Aidilfitri anjuran Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) baru-baru ini didakwa melibatkan artis-artis berprofil tinggi, sekaligus mencetuskan tanda tanya dalam kalangan rakyat terhadap sumber kewangan yang digunakan bagi tujuan tersebut.
Dalam satu kenyataan, Naib Presiden BERJASA, Ir Ts Lukman Al Hakim berkata:
- Perdana Menteri dan Menteri Kesihatan perlu memberikan penjelasan terhadap sumber kewangan yang digunakan untuk membayar artis-artis berprofil tinggi yang dijemput dalam Majlis Aidilfitri Kementerian Kesihatan Malaysia.
- Adakah mereka melakukan persembahan secara percuma, ditaja oleh pihak-pihak tertentu atau menggunakan duit cukai rakyat?
- Perdana Menteri sebelum ini berapi-rapi memperjuangkan penjimatan kos tadbir urus negara. Katanya jangan buat majlis besar-besar, jangan bagi saya hadiah dan sebagainya.
- Tapi apa yang berlaku hari ini amat mengejutkan seluruh rakyat, terutamanya penyokong tegar parti Perdana Menteri.
- Rata-rata tahu Kementerian Kesihatan masih bergelut dengan isu doktor kontrak, tempoh masa kerja yang terlalu panjang, elaun yang rendah serta kes-kes kemalangan yang melibatkan ‘over-worked doctors’.
- Apatah lagi ketika Malaysia sedang berhadapan dengan kemelesetan ekonomi dan negara masih berduka atas insiden letupan paip gas di Putra Height.
- Syarikat minyak dan gas negara yang terpaksa menanggung kerugian dan membayar pampasan terhadap mangsa kejadian telahpun menyatakan solidariti dan membatalkan semua majlis sambutan Aidilfitri syarikat di seluruh dunia.
- Lagipun, bukankah sekarang negara Palestin sedang teruk dibantai habis-habisan?
- Bagaimana tokoh pemimpin Islamis ini boleh menganjurkan dan mengepalai majlis maksiat yang menghidangkan suara wanita menyanyi dan dengan penuh bangga post di laman FB peribadi?
Isu ini terus mendapat perhatian umum, dengan banyak pihak menuntut penjelasan segera daripada pimpinan tertinggi kerajaan bagi mengelakkan keraguan terhadap integriti dan keutamaan dasar pentadbiran negara dalam situasi ekonomi dan sosial yang mencabar ketika ini.