Shah Alam – Rakyat Malaysia khususnya daripada golongan B40 dan M40 berasa begitu terkesan setelah Bank Negara Malaysia mengenakan kenaikan kadar kenaikan semalaman (OPR) baru-baru ini menjadikan angka keseluruhan adalah sebanyak 3 peratus setakat ini.
Mengikut catatan, OPR telah pun naik sebanyak tujuh kali bermula tahun lalu iaitu 2022 sehingga kini.
Antara faktor BNM menaikkan OPR dengan sebab untuk mengimbangi risiko inflasi dan memastikan pertumbuhan ekonomi yang mampan namun istilah itu sebenarnya tidak mudah difahami oleh rakyat yang berada di bawah.
Apa yang rakyat tahu hanyalah mereka kini sukar untuk berbelanja akibat kenaikan harga barangan dan perlu membayar pinjaman dengan kadar yang tinggi.
Pakar-pakar ekonomi sering mengatakan kenaikan OPR ini tidak dapat dielak kerana perubahan global yang dikira sebagai faktor luaran yang banyak dipengaruhi kadar faedah Amerika Syarikat (AS).
Saya berpendapat, faktor luaran ini sememangnya sukar untk dielakkan dan dilihat agak ‘tidak adil’ apabila AS yang menaikkan kadar faedahnya sehingga terkena impaknya kepada kita di sini.
Mungkin suatu masa nanti bank pusat perlu mencari mekanisme baharu atas dasar monetari tempatan yang bergantung penuh kepada pertumbuhan dalam negeri dan keadaan kewangan domestik.
Pakar ekonomi tempatan, pakar kewangan, penggubal dasar perlu duduk semeja mencari kekuatan domestik bagaimana mengelak dan mengimbangi agar situasi kewangan serta ekonomi rakyat tidak tertekan.
Sistem kewangan semasa yang berdasarkan sistem kapitalis perlu ‘direset’, sistem kewangan perbankan yang menjadi tulang belakang ekonomi perlu dirombak.
Perbankan Islam perlu memainkan peranan yang lebih aktif dan membantu mencari penyelesaian dalam isu OPR ini.
Sesuatu perlu dilakukan dalam mengurangkan tekanan atau mengimbangi agar sistem OPR tidak terus membebankan rakyat walaupun ada manfaat kepada pihak pendeposit tinggi.