Saya bersetuju dengan perancangan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Malaysia, Mohamad Sabu untuk mengimport bekalan telur ayam daripada negara luar bagi memastikan bekalan telur ayam ini cukup di dalam pasaran domestik.
Perancangan ini dilihat baik untuk jangka masa yang pendek sahaja dan kerajaan seharusnya perlu membentangkan persediaan untuk jangka masa yang panjang dalam menyelesaikan isu ini.
Kebergantungan kepada pengimportan bekalan makanan seperti telur ayam hanya akan membuka pintu kepada mana-mana pemegang lesen AP import untuk memonopoli perniagaan seterusnya wujud kartel bekalan telur ayam. Ini bermakna harga dan bekalannya nanti akan dikawal sepenuhnya oleh kartel-kartel ini.
Saya berpandangan kerajaan sekarang sepatutnya meneruskan dasar kerajaan terdahulu iaitu dalam pemberian subsidi kepada penternak ayam tempatan yang bermula diberikan pada Oktober 2022 hingga Disember 2022. Pemberian subsidi ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban penternak dalam menanggung kos makanan ayam yang meliputi 70 peratus daripada kos pengeluaran, kos anak ayam, utiliti dan ubat-ubatan untuk kesihatan ayam. Hal ini juga secara automatiknya dapat mengoptimumkan pengeluaran telur ayam.
Dalam masa yang sama saya juga mengharapkan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Malaysia dapat menyelesaikan isu untuk memajukan tanah-tanah terbiar sebagai tanah pertanian bagi memastikan sekuriti makanan negara kita kekal terjamin. Ini dapat dilakukan dengan menggazetkan tanah sawah padi sebagai tanah untuk penanaman padi sahaja bukannya dibangunkan oleh pemaju untuk perumahan khususnya.
Isu bekalan telur ayam ini sebanarnya hanya sebahagian daripada isu sekuriti makanan yang membelenggu rakyat kita sekarang dan banyak lagi isu ketidakcukupan bekalan makanan lain yang perlu difokuskan oleh kerajaan.
Hamdan Shariff
Ketua Penerangan BERJASA