Rembau – Lebih 700 orang pengunjung hadir memeriahkan Majlis Jamuan Hari Raya BERJASA Rembau yang diadakan di Restoran GH Corner, Rembau pada hari Sabtu lepas.
Majlis yang diadakan pada waktu 11 pagi sehingga 3 petang itu dianjurkan oleh BERJASA Rembau sebagai inisiatif menghargai para penyokong BERJASA Rembau dan merapatkan hubungan bersama masyarakat setempat.
Presiden BERJASA, Ustaz Zamani Ibrahim selaku tuan rumah majlis ini berkata, beliau bersyukur dan gembira dengan sambutan hangat yang diberikan oleh masyarakat setempat di sini.
“Syukur alhamdulillah majlis pada hari ini berjalan dengan lancar. Walaupun negara kita mengalami cuaca panas yang tidak menyebelahi kita namun sambutan daripada masyarakat Rembau di sini amat baik”.
“Sememangnya kita adakan majlis ini adalah untuk mendekatkan hubungan BERJASA dengan rakyat. Sambil kita menjamu hidangan, kita boleh beramah mesra dengan mereka dengan lebih rapat lagi”, jelas beliau.
Majlis ini turut dimeriahkan dengan pemberian duit raya kepada kanak-kanak yang hadir di majlis tersebut.
Untuk maklumat tambahan, majlis ini turut dimeriahkan dengan kehadiran Pengerusi BERJASA Negeri Sembilan, En Mohd Fauzi Bashir dan Ketua Wanita BERJASA Negeri Sembilan, Puan Norrashidah Masnon.