KUALA LUMPUR – Isu Kampung Sungai Baru masih lagi hangat diperdebatkan sehingga menarik perhatian mantan menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad untuk memberikan respon. Beliau mengingatkan agar kerajaan Madani di bawah pemerintahan Anwar Ibrahim tidak mengulangi kesilapan pentadbiran terdahulu dalam isu Kampung Sungai Baru.
Hal ini demikian kerana beliau mendapati kerajaan terdahulu gagal menjadi perantara yang sewajarnya antara pemilik tanah dan pemaju dalam projek pembangunan semula Kampung Sungai Baru.
Beliau menegaskan menjadi tanggungjawab kerajaan untuk memastikan pemilik tanah mendapat pampasan yang setimpal memandangkan kerajaan telah pun menggunakan Akta Pengambilan Tanah 1960.
“Harap benda ini sampai ke menteri wilayah. Tolonglah, kita nak selamatkan kerajaan Madani daripada melakukan satu kesalahan dan kezaliman terhadap pemilik-pemilik di sini,” katanya pada sidang media di balai raya Kampung Sungai Baru di Kuala Lumpur.
Khalid menjawab kenyataan Zaliha di parlimen apabila dia berkata projek pembangunan akan diteruskan memandangkan majoriti penduduk Kampung Sungai Baru telah bersetuju dengan terma dan pampasan yang akan disediakan oleh pemaju.
Namun begitu, kenyataan Zaliha ini boleh disangkal kerana masih terdapat sebahagian penduduk rumah teres Sungai Baru Kampung Baru yang masih kekal berada di kediaman masing-masing meskipun notis merah membabitkan arahan pengosongan telah dikeluarkan Oktober lalu.
Salah seorang penduduk di situ berkata mereka akan kekal tinggal di sana sehingga tuntutan pampasan daripada RM450 sekaki persegi dinaikkan kepada RM1,200 didengar pemaju.
“Kami masih harap pemaju dapat bayar pampasan yang diminta penduduk kerana pampasan sedia ada rendah, tidak setimpal dengan kedudukan lokasi hartanah di sini, berdepan KLCC,” katanya ditemui ketika tinjauan Sinar Harian pada Khamis.
Dalam sumber yang lain pula, lebih 100 pemilik hartanah di Kampung Sungai Baru di sini merayu kepada kerajaan dan meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim campur tangan bagi menyelesaikan isu pampasan yang lebih adil.
Parti BERJASA sebelum ini pernah menyelar pihak kerajaan yang lebih berusaha untuk mengangkat martabat Kampung Baru Cina berbanding kampung tradisional yang wujud beratus tahun lagi seperti Kampung Assam Jawa dan rumah asal pengasas Kampung Abdullah Hukum.
BERJASA berpendapat kampung-kampung ini juga mempunyai sentimen yang lebih dekat dengan budaya Malaysia kerana dibuka dan didirikan oleh orang tempatan.