KUALA LUMPUR – Topik perbahasan yang menjadi tumpuan di persidangan Dewan Rakyat hari ini akan ditumpukan kepada cadangan kemasukan tenaga guru Bahasa Inggeris dari Singapura ke negara ini. Cadangan m,embawa masuk guru bahasa Inggeris dari Singapura ini pernah dikemukakan oleh Perdana Menteri pada bulan Jun tahun ini sewaktu pertemuan empat mata dengan Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong.
Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman sesawang Parlimen, Kalam Salan (PN-Sabak Bernam) meminta Menteri Pendidikan menyatakan perancangan khusus Kementerian Pendidikan berhubung cadangan itu serta langkah memperkasa guru Bahasa Inggeris tempatan pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri.
Cadangan membawa masuk guru Singapura untuk mengajar bahasa Inggeris ke Malaysia dikritik hebat oleh ramai pihak kerana melihat ia seakan satu tindakan yang meminggirkan potensi guru tempatan.
Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaaffar menegaskan bahawa membawa guru bahasa Inggeris dari luar negeri termasuk Singapura bukan satu penyelesaian dalam memantapkan penguasaan bahasa itu dalam kalangan pelajar di Malaysia.
Beliau sebaliknya menyarankan kerajaan agar memperkesakan pengajaran dan pembelajaran serta latihan terhadap guru bahasa Inggeris tempatan.
“Saya tidak setuju dengan cadangan membawa guru dari luar negara untuk mengajar bahasa Inggeris buat masa ini.
“Saya pernah menjadi ahli National Brains Trust di National Education pada 2003. Kami dimaklumkan silibus bahasa Inggeris diajar di sekolah kebangsaan adalah berjumlah 1,666 jam dari Darjah Satu hingga Tingkatan Lima.
“Namun sukar untuk terima hakikat bahawa setelah lebih sedekad belajar di sekolah, pelajar masih tidak dapat menguasai apatah lagi membina ayat yang mudah dalam bahasa Inggeris,” kata beliau.
Dalam satu kenyataan yang lain, Perdana Menteri menafikan dakwaan bahawa Malaysia melantik guru Bahasa Inggeris dari Singapura untuk mengajar di negara itu.
Sebaliknya ia merupakan merupakan permintaan beliau sekiranya Singapura mempunyai skim bantuan sukarela untuk siswazahnya dihantar mengajar bahasa Inggeris dan mata pelajaran lain di kawasan miskin bandar, pedalaman, Sabah dan Sarawak.
Sebelum ini juga, BERJASA melalui Setiausaha Agungnya, Zulkifli Yahya menyarankan agar Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia (KPTM) melakukan perbincangan dua hala susulan isu kekurangan guru seperti yang dilaporkan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP).
Laporan itu memberitahu bahawa Malaysia mencatatkan kekurangan guru seramai 10,200 orang guru terutamanya subjek seperti Bahasa Melayu, Sejarah, Pendidikan Islam dan Bahasa Inggeris.