BANGI – UMNO perlu menarik sokongan daripada kerajaan semasa jika tidak mahu dikenang sebagai sebuah parti yang mengkhianati orang Melayu. Kepercayaan terhadap UMNO oleh orang Melayu akan luntur dan semestinya banyak sokongan boleh jadi luntur daripada orang Melayu.
Itu penegasan yang diucapkan oleh Presiden BERJASA, Zamani Ibrahim dalam mengulas mengenai tindakan kerajaan yang membenarkan syarikat pelaburan, BlackRock untuk membeli saham MAHB.
Tegas beliau, kita juga sepatutnya berhati-hati bahawa walaupun BlackRock hanya akan membeli 25 peratus sahaja namun keberangkalian untuk BlackRock meningkatkan jumlah pembelian saham MAHB juga boleh berlaku. Hal ini seterusnya telah melepaskan aset strategik negara kepada tangan pihak asing.
“Saya berikan contoh jika BlackRock membeli 25 peratus sekalipun, hal ini besar kemungkinan juga BlackRock akan menambahkan lagi jumlah pembelian saham MAHB sebanyak 21 peratus lagi. Maka jumlah keseluruhannya adalah sebanyak 46 peratus”.
“BlackRock juga boleh jadi akan menjual saham 25 peratus ini kepada syarikat Israel jika saham itu rugi pada masa akan datang. Ini yang kita bimbangkan”, jelas beliau dalam satu video di saluran Youtube Parti BERJASA Malaysia.
Selain, beliau juga mengingatkan bahawa pada sebelum ini BlackRock melalu syarikat Global Infrastucture Partners (GIP) pernah menyasarkan untuk melabur sebanyak 49 peratus di dalam saham MMC Port Holdings yang merupakan syarikat perniagaan pelabuhan di Malaysia namun dibatalkan.
“Jika BlackRock berjaya membelinya, maka aset udara kita iaitu MAHB dan laut iaitu MMC Port Holdings telah dikuasai oleh pihak asing. Kita wajar mempersoalkan tentang keselamatan negara kita apabila dua laluan ini dikuasasi orang luar”, kata beliau.
Beliau berpendapat isu ini boleh diselesaikan dengan tindakan segera daripada parti UMNO menarik sokongan daripada kerajaan sekarang bagi menjaga keharmonian dan kedaulatan negara daripada dipengaruhi kuasa asing.
Beliau yakin tindakan UMNO menarik sokongan untuk keluar daripada kerajaan akan menyebabkan kerajaan membatalkan terus sebarang urusan dengan BlackRock.
Terdahulu, beliau dalam kenyataannya yang dahulu pernah menegaskan penerimaan kerajaan yang membenarkan BlackRock melabur di dalam MAHB menunjukkan kerajaan sudi bekerjasama dengan pembunuh rakyat Palestin.