Batu Kurau – Kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini yang mengatakan orang Melayu tidak perlu berada dalam keadaan selesa dan angkuh disifatkan sebagai satu kenyataan yang tidak tepat dan menyinggung perasaan masyarakat Melayu
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata lagi sikap itu menyebabkan orang Melayu menganggap kelompok lain iaitu golongan minoriti tidak boleh diraikan.
Setiausaha Agung BERJASA, Zulkifli Yahya ketika dihubungi berkata, kenyataan Perdana Menteri dilihat boleh menyinggung perasaan orang ramai terutamanya orang Melayu.
Beliau mempersoalkan kenyataan tersebut yang seakan-akan menampakkan orang Melayu di Malaysia ini tidak menghormati dan melayan kaum-kaum lain dengan baik.
“Adakah kita ingin katakan orang Melayu di Malaysia ini menindas kaum lain seperti Cina dan India padahal daripada zaman kemerdekaan negara kita lagi orang Cina dan India mendapat peluang untuk menjawat jawatan menteri dalam kerajaan.”
“Malahan di dalam pilihan raya calon-calon berbangsa Cina dan India ini bukan sahaja dapat bertanding di kerusi majoriti kaum mereka malahan kerusi yang didiami oleh majoriti orang Melayu dapat mereka masuk bertanding dan menang”.
“Jangan kita lupa bahawa orang Melayu juga berbesar hati menyerahkan Singapura kepada kaum lain sehingga mampu mendirikan sebuah negara yang berdaulat”, tegas beliau.
Tambah beliau, kenyataan sebegitu tidak sepatutnya dikeluarkan daripada mulut seorang Perdana Menteri yang kedudukannya dihormati oleh rakyat.
“Saya berpendapat mana-mana ahli politik cukuplah menyalahkan dan mengkambing hitamkan mana-mana kaum dengan niat yang tidak baik dan tidak berasaskan fakta”.
“Orang Melayu sudah banyak berkorban dari segi ekonomi dan politik dan itu masih itu dikatakan sebagai angkuh? Kenyataan beliau itu sungguh tidak tepat”, jelas beliau.
Semalam, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata orang Melayu Islam yang merupakan kumpulan majoriti di negara ini tidak harus berasa terlalu selesa dan angkuh sehingga menganggap kelompok lain tidak boleh diraikan.
Beliau juga menegaskan menjaga kepentingan majoriti Melayu Islam di Malaysia, beliau memilih untuk memegang prinsip saling homat-menghormati dan meraikan serta memberi hak kewarganegaraan kepada semua.