Perdebatan mengenai budaya termasuk produk tradisional Malaysia sering terjadi antara Malaysia dengan Indonesia kerana kedua-dua buah negara ini berkongsi budaya dan identiti yang lebih kurang sama – Nusantara.
Hal ini dapat dilihat ketika personaliti Internet ataupun pempengaruh media sosial daripada Amerika Syarikat (AS), IShowSpeed datang ke Malaysia dan menerima baju batik daripada peminatnya.
Keadaan mula menjadi gawat apabila rakyat Indonesia mula membanjiri komen “video live” di laman sosial dengan mendakwa batik yang diterimanya itu milik budaya Indonesia sedangkan batik Malaysia dan Indonesia jauh berbeza sama sekali.
Batik Malaysia motifnya cenderung lebih bebas dan moden dengan adanya corak flora dan fauna tempatan seperti bunga raya, daun kelapa, burung serta motof abstrak yang sangat popular.
Batik Indonesia pula terkenal dengan motif yang lebih tradisional dan kompleks yang mana motifnya sering mencerminkan simbol-simbol kebudayaan dan kepercayaan seperti parang, kawung dan motif kerajaan.
Fakta ini sepatutnya sudah jelas untuk kedua belah pihak dan kerajaan Malaysia wajar memartabatkan produk tradisional Malaysia bagi melambangkan ia sebagai identiti negara yang terpenting.
Banyak Produk Tradisional Malaysia Boleh Dieksport Ke Luar
Perkongsian budaya antara Malaysia dengan Indonesia memang berlaku atas dasar serumpun namun perkongsian ini juga menimbulkan perkelahian antara dua belah pihak.
Pihak sana mendakwa budaya tradisional mereka lebih berbanding Malaysia namun sebenarnya produk tradisional Malaysia juga tidak kurang hebatnya di mata orang luar.
Selain daripada batik dan songket yang ‘direbut’ oleh kedua buah negara ini, Malaysia juga ada kraftangan lain yang berpotensi untuk dieksport ke luar seperti tikar mengkuang.
Tikar mengkuang ini diperbuat daripada daun mengkuang yang dikeringkan dan diwarnakan.
Tikar ini biasanya digunakan di dalam majlis adat atau sebagai perhiasan rumah dan tidak mustahil ia boleh mendapat sambutan orang luar yang berminat dengan produk yang bersifat unik dan tradisional.
Bukan itu sahaja malahan kraftangan yang bercorak ukiran kayu juga dijadikan sebagai produk yang terkenal untuk dieksport ke luar negara.
Seni ukiran kayu sangat terkenal di negeri-negeri Terengganu dan Kelantan dengan motif ukiran biasanya flora, geometrik atau abstrak malahan ia sering digunakan pada rumah-rumah tradisional Melayu.
Jika IKEA daripada Sweden boleh menghasilkan produk perabot yang bersifat minimalis, Malaysia juga sepatutnya ada satu “brand” yang boleh menghasilkan perabot yang lebih unik dengan seni ukiran kayu.
Hal ini tidak ditambah lagi dengan produk kraftangan lain seperti seramik dan tembikar milik Malaysia.
Labu Sayong iaitu bekas air tradisional dari negeri Perak yang diperbuat daripada tanah liat boleh dipasarkan ke luar negara kerana ia bukan sahaja cantik dengan coraknya namun fungsinya yang boleh menyejukkan air di dalamnya begitu unik.
Produk daripada Sarawak hasil tangan kaum Melanau dan Orang Ulu iaitu tembikar Sarawak juga tidak jauh keunikannya kerana ia dihiasi dengan corak geometri yang melambangkan tradisi dan adat.
Perkasakan IKS Untuk Eksport Kraftangan Malaysia
Produk-produk kraftangan tradisional Malaysia yang diterangkan di atas tidak mustahil boleh masuk ke pasaran Eropah, Amerika dan Asia jika kerajaan mempunyai perancangan yang baik untuk membantu industri kecil dan sederhana (IKS) yang menghasilkan kraftangan ini daripada sudut pemasaran.
Tahun lepas sebanyak 14 produk kraftangan warisan tempatan yang dihasilkan oleh pelbagai etnik ditampilkan pada Minggu Kraf London (LCW).
Antara produk yang ditampilkan pada acara antarabangsa itu ialah Telepuk Terengganu, Songket Terengganu, Anyaman Pandakan, Anyaman Tikar Sabah, Anyaman Lingkong, Ikat Iban Sarawak dan Anyaman Penan.
Penubuhan Kraftangan Malaysia dan Dasar Kraftangan Negara juga boleh dimanfaatkan oleh kerajaan untuk memperkasakan kualiti pemasaran produk kraftangan ini mampu menembusi pasaran antarabangsa.