KUALA LUMPUR – Beberapa bulan yang lalu gempar dengan laporan yang mendakwa warga asing terutamanya daripada Bangladesh, Indonesia dan Rohingya mula menguasai sektor pertanian di Malaysia. Warga asing ini juga didapati mengusahakan sektor pertanian dan kebun sayur secara haram dan saiz kebun mereka ada yang dipercayai saiz keseluruhannya hampir 1,000 hektar.
Kini sektor perikanan pula dilihat bakal dikuasai oleh warga asing setelah melihat trend golongan belia yang menyertai profesion nelayan menurun dan kurang mendapat sambutan untuk diceburi sebagai profesion kerjaya.
Perkara ini disahkan oleh Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Arthur Joseph Kurup yang melihat Malaysia menuju ke arah golongan nelayan yang menua.
“Kita berdepan cabaran… kita mempunyai nelayan serta petani yang menua, dan masalah ini bukan saja di negara kita malah hampir di semua negara.
“Kementerian akan terus menyokong usaha murni ini agar profesion nelayan tidak dianggap sebagai kerja 3D (kotor, bahaya dan sukar), sebaliknya sebagai suatu kerjaya yang dapat memberi peluang pekerjaan kepada belia serta mendatangkan pulangan hasil yang lumayan”, kata beliau.
Tambah beliau lagi, nelayan merupakan penyumbang penting dalam memajukan sektor perikanan negara dan pada masa sama, turut memastikan bekalan makanan negara sentiasa mencukupi serta terjamin.
Sebagai tambahan, industri perikanan negara menyumbang 0.8 peratus setahun kepada Keluaran
Dalam Negeri Kasar (KDNK) melalui pengeluaran berjumlah 1.78 juta tan metrik dengan nilai RM13.84 bilion. Pengeluaran kepada industri perikanan ini disumbangkan oleh perikanan tangkapan marin sebanyak 1.38 juta tan metrik, akuakultur berjumlah 400 ribu tan metrik dan pendaratan perikanan darat sebanyak 5,625 tan metrik.
Sebelum ini, Pengerusi Persatuan Pengimport Sayur-Sayuran Malaysia, Datuk Seri Teh Meng Huat berkata, tindakan kerajaan yang terus memansuhkan AP khususnya bagi produk kobis bulat dan kelapa tanpa perbincangan dengan pemain industri tempatan menyebabkan kemasukan syarikat milik 100 peratus warga asing dalam pengimportan sayur-sayuran.