Sekian Lama Didominasi China Dan Australia, Kini Malaysia Bakal Memacu Industri Nadir Bumi

industri nadir bumi

Malaysia dilihat bakal menjadi negara pemacu terbaharu dalam industri nadir bumi atau dipanggil sebagai “rare earth elements” (REE) setelah kerajaan negeri Perak telah mendirikan Terra Mineral Lab, sebuah makmal analisis mineral nadir bumi komersial pertama dalam negara.

Fokus dan perancangan kerajaan negeri Perak ini dilihat satu pelaburan yang berbaloi memandangkan setakat ini industri nadir bumi ini menyumbang pulangan hasil royalti mencecah RM30.88 juta seperti yang dimaklumkan oleh Menteri Besar Perak Saarani Mohamad.

Beliau menegaskan projek pemprosesan nadir bumi di Perak ini akan dilakukan dengan kerjasama sebuah syarikat tempatan dan akan dilaksanakan di Simpang Pulai.

Syarikat itu berjaya memisahkan empat kumpulan unsur nadir bumi iaitu lathanum cerium (LaCe), praseodymium neodymium (PrNd), samarium europium gadolinium (SEG) dan heavy rare earth element (HREE) yang mana semuanya dipisahkan menggunakan kepakaran tempatan.

Selain Perak, negeri lain yang mula menjadikan industri nadir bumi sebagai industri ekonomi ialah Negeri Sembilan yang baharu sahaja meluluskan dua kawasan berkeluasan kira-kira 400 hektar untuk aktiviti perlombongan unsur nadir bumi.

Nadir Bumi Di Malaysia Amat Bernilai Tinggi

Malaysia berpotensi untuk menjadi pemacu dalam industri nadir bumi selain China dan Australia memandangkan Malaysia kaya dengan sumber unsur nadir bumi.

Merujuk kepada kenyataan Menteri Sumber Asli Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata kajian Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) mendapati sumber nadir bumi negara dianggarkan berjumlah 16.1 juta dengan nilai pasaran sebanyak RM809.6 bilion.

Anggaran ini dibuat terhadap 10 buah negeri yang mempunyai sumber ini iaitu Johor, Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Sarawak, Selangor dan Terengganu.

Setakat kajian yang telah dibuat, hanya tiga negeri yang serius memulakan langkah untuk aktiviti pemprosesan nadir bumi iaitu Negeri Sembilan, Perak dan terbaharu Pahang yang meluluskan cadangan Projek Perintis Perlombongan Unsur Nadir Bumi Bukan Radioaktif (NR-REE) di atas tanah seluas 220 hektar di Sungai Wang, Mukim Hulu Jelai, Lipis.

Hal ini menunjukkan bahawa industri nadir bumi di Malaysia semakin rancak dilaksanakan setelah menyedari mnafaat ekonomi daripada sektor ini.

Jika mengulas mengenai kepakaran pemprosesan dan perlombongan nadir bumi, hal ini tidak dinafikan syarikat daripada China dan Australia mempunyai kepakaran itu namun itu tidak bermakna mereka boleh datang ke Malaysia dan membolot semua hasil kekayaan negara ini.

Kerajaan negeri Perak memilih untuk mengutamakan syarikat tempatan untuk aktiviti pemprosesan nadir bumi maka sepatutnya negeri lain juga mengambil pendekatan yang sama untuk memilih syarikat tempatan sebagai pihak utama melombong sumber ini.

Mungkin kerjasama dengan syarikat luar boleh dibuat tetapi perlu dipastikan pemindahan teknologi boleh dibuat bagi membolehkan syarikat tempatan mendapat akses pengetahuan teknologi yang sama seperti mereka.

Bukan itu sahaja malahan kerajaan negeri perlu merangka prosedur operasi standard (SOP) khas untuk melombong komoditi ini bagi mengelakkan penyelewengan REE berulang.

Selain itu, aktiviti perlombongan ini perlu dipastikan memberi kesan yang minima sahaja kepada alam sekitar bagi memastikan kelestarian alam sekitar di sekitar kawasan perlombongan tidak begitu terjejas.

Sememangnya sumber nadir bumi ini menjanjikan pulangan yang lumayan kepada negara namun cabaran yang perlu ditempuh oleh kerajaan ialah bagaimana untuk mengekalkan kedaulatan sumber ini secara sepenuhnya.

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post
brain drain

Krisis ‘Brain Drain’ Makin Kritikal, 1.86 Juta Bakat Tempatan Malaysia Berhijrah Ke Luar Negara

Next Post
harimau malaya

Berapa Banyak Lagi Harimau Malaya Perlu Dikorbankan & Pupus?

Related Posts