PADA 29 Ogos lalu, ketika berucap pada Persidangan Peralihan Tenaga di Kuala Lumpur, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli menegaskan Malaysia tidak menolak penjanaan tenaga nuklear tetapi perlu membuat pertimbangan lanjut sebelum mengintegrasikannya ke dalam sistem pembekalan tenaga negara.
Beliau berkata, sikap terbuka kerajaan itu kerana wujud perubahan pada teknologi nuklear yang bersifat pelepasan karbon sifar seperti reaktor modular kecil (SMR). SMR dikatakan ‘lebih selamat’ dan mempunyai saiz lebih kecil daripada reaktor nuklear konvensional.
Sebenarnya terdapat banyak sebab penggunaan tenaga nuklear bagi menjana tenaga elektrik harus ditentang termasuk kajian dilakukan menunjukkan penduduk menetap di sekitar loji tenaga nuklear terdedah kepada risiko lebih tinggi untuk menghidap kanser.
Sehingga kini, tiada penyelesaian yang benar-benar selamat untuk menangani sisa radioaktif. SMR memerlukan tempoh setiap tiga hingga tujuh tahun bagi penukaran bahan bakar, Uranium-235 yang sudah tentu akan menghasilkan sisa radioaktif berbanding reaktor konvensional yang memerlukan antara satu hingga dua tahun tempoh pertukaran.
Selain itu, reaktor nuklear juga terdedah kepada bencana alam, kemalangan, kesilapan manusia, sabotaj dan serangan pengganas.
Kos pembelian bahan bakar, pembinaan, operasi loji tenaga nuklear hingga ke pengurusan sisa radioaktif dan penutupan loji tersebut memerlukan belanja yang tinggi. SMR walaupun bersaiz kecil akan melibatkan kos kira-kira RM2.3 bilion sebuah.
Akhirnya, kos tersebut akan ditanggung oleh rakyat dengan membayar setiap kilowatt yang diterjemahkan kepada peningkatan dalam bil elektrik.
Syarikat yang membekal kelengkapan reaktor nuklear mengambil kesempatan dari isu perubahan iklim bagi menghidupkan semula industri yang semakin malap itu.
Mereka berhujah bahawa loji tenaga nuklear dapat membantu perubahan drastik ke arah penurunan pembebasan karbon, namun hakikatnya ia membazirkan wang dan mempunyai risiko tinggi.- UTUSAN
JURUTERA MUDA
Rawang, Selangor