Jika diteliti dengan lebih jelas mengenai ucapan yang disampaikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mesti akan kedengaran perkataan “sakau”, “merompak” dan “maha kaya”. Perkataan-perkataan ini sering diulang kerap kali di dalam ucapannya seakan ingin menggambarkan masalah yang melanda negara kini berpunca daripada ketiga-tiga elemen itu.
Beliau ingin menggambarkan seakan-akan golongan maha kaya ini adalah jahat dan berkhianat terhadap negara. Begitu yakinnya beliau menuduh golongan ini sebagai kumpulan yang mencuri hasil negara melalui penipuan seperti tidak membayar cukai dan menjadi kartel barang-barang tertentu.
Sebagai seorang Perdana Menteri, ucapan beliau sepatutnya lebih dekat dan mengesani hati rakyat melalui ucapan yang positif untuk dipersembahkan kepada rakyat. Benar negara tetap ada masalah namun adakah masalah itu benar-benar wujud atau hanya disensasikan masalah yang tidak pernah wujud?
Apabila menyentuh soal maha kaya, beliau sepatutnya mengkhususkan golongan maha kaya yang manakah dimaksudkan oleh beliau. Di dalam kumpulan yang diklasifikasikan sebagai berpendapatan tinggi, terdapat 20 kumpulan dan pembahagian tingkat pendapatan ini dibahagikan kepada 7 tingkat pendapatan pula.
Tingkat pendapatan pertama bermula dengan pendapatan sebanyak RM11.6k hingga RM15.3k untuk kumpulan T11 hingga T20. Kedua, T6 hingga T10 adalah dalam RM15.8k hingga RM19.4k. Ketiga, pendapatan T5 sebanyak RM20.7k. Keempat, T4 dengan pendapatan sebanyak RM22.5k. Kelima, T3 dengan pendapatan RM25.0k. Keenam, kumpulan T2 dengan pendapatan RM29.0k dan yang terakhir pula kumpulan T1 dengan pendapatan sebanyak RM37.5k.
Jelas begitu banyak kumpulan di dalam kelas maha kaya seperti yang didakwa oleh ramai pihak termasuk Perdana Menteri sendiri. Namun, ramai pihak yang sebenarnya tidak sedar bahawa jurang pendapatan antara T20 dengan T1 adalah amat besar.
Menjadi satu yang tidak adil untuk memukul rata semua golongan yang bermula dengan huruf “T” sebagai golongan maha kaya. Untuk T11 dengan pendapatan RM11.6k dengan tanggungan isi rumah 5 hingga 7 orang dan tinggal di bandar besar, mereka mungkin jatuh ke golongan M40 selepas potongan cukai dibuat.
Harus diingat juga tidak semua golongan maha kaya ini buruk seperti yang disangka. Mereka juga menyumbang kepada kemajuan ekonomi negara dengan membayar cukai dan menyokong perniagaan kecil dan sederhana. Perdana Menteri dalam kenyataannya sebelum ini memberi gambaran buruk bahawa golongan ini lari daripada membayar cukai dan akhirnya berjaya menghasut rakyat secara sengaja ataupun tanpa sengaja untuk membenci mereka.
Adakah beliau tidak sedar ucapan beliau itu telah meninggalkan kesan yang buruk apabila rakyat awam secara agresifnya memukul rata semua golongan kaya ini adalah jahat dan punca kepada ketirisan pendapatan negara? Mereka mendesak kerajaan untuk menekan golongan ini dengan kuat sehingga dilihat sebagai satu pelepasan emosi yang melampau pula.
Adakah menjadi satu kesalahan untuk mana-mana pihak berusaha lebih meningkatkan taraf kehidupan mereka? Jika menjadi kaya itu satu kesalahan, sudah jelas bahawa Malaysia ini adalah sebuah negara komunis bukannya demokrasi seperti yang dicanang oleh golongan reformasi.
SUMBER – Malaysia Now