PUTRAJAYA: Pertubuhan Sisters in Islam (SIS) Forum (Malaysia) sebelum ini pada 2014 telah difatwakan sesat oleh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) kerana didapati mempunyai unsur-unsur yang menyeleweng daripada ajaran Islam sebenar. Sebelum ini, pertubuhan itu cuba membuat rayuan mencabar fatwa tersebut di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan menemui kegagalan.
Namun, baru-baru ini SIS Forum dilaporkan telah meneruskan permohonan rayuan di Mahkamah Persekutuan untuk mencabar sekali lagi fatwa itu dan kesudahannya, Mahkamah Persekutuan hari ini telah membenarkan mereka mencabar keabsahan fatwa berkenaan.
Ustaz Zamani Ibrahim, Presiden Berjasa yang juga sebelum ini merupakan Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan menyatakan, kewujudan fatwa berperanan untuk mencegah kekeliruan yang boleh berlaku dalam kalangan masyarakat Islam terutamanya dari segi pemikiran dan fahaman asing yang bertentangan dengan akidah Islam. Fungsi fatwa perlu dimanfaatkan secara maksima bagi memberi kemaslahatan umat Islam secara keseluruhan.
Pun begitu, Tengku Maimun dalam penghakiman berkata, fatwa itu sah setakat mana ia merujuk kepada mana-mana individu yang berpegang kepada fahaman liberalisme dan pluralisme agama adalah sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam manakala fatwa yang diketepikan atau tidak sah adalah berkaitan pemakaian fatwa tersebut kepada SIS Forum sebagai sebuah pertubuhan, institusi atau syarikat, pengharaman dan rampasan bahan terbitan dan arahan supaya Suruhanjaya SKMM menyekat laman-laman sosial.
Presiden Berjasa mengulas, keputusan ini menimbulkan persoalan-persoalan lanjut, kerana Perkara 11 dalam Perlembagaan Malaysia menyatakan kebenaran undang-undang negeri dan undang-undang persekutuan untuk menyekat penyebaran agama lain kepada orang Islam. Jadi apakah keputusan ini akhirnya memberi gambaran kepada semakin terbatasnya kuasa fatwa atau pihak berkuasa agama negeri untuk mengekang dakyah sesat yang wujud secara massa melalui entiti tertentu?
Apakah keputusan ini akan membuka ruang bagi kumpulan-kumpulan sesat lain juga untuk mencabar jika mereka mahu? Dan adakah ini petanda peranan institusi agama semakin melemah dan tidak berupaya menjadi penentu kepada keamanan dan kesejahteraan akidah majoriti umat Islam di Malaysia untuk terus beragama dengan baik dan benar?” soalnya.
Memetik kata-kata Tun Abdul Hamid suatu ketika dahulu, “Keputusan penghakiman sekarang mungkin banyak mengikut doktrin undang-undang sivil tapi mengabaikan prinsip Islam. Penghakiman sebegini dianggap penghakiman yang tempang.” Kita hanya melahirkan kebimbangan jika benar keputusan ini adalah keputusan yang tempang dan boleh menatijahkan impak yang buruk kepada masa depat umat Islam di Malaysia.
Langkah-langkah ke arah memperkasakan bidang kuasa Mahkamah Syariah melalui pindaan Perlembagaan Persekutuan seperti saranan yang ada dalam buku Impian Nasional 2040 oleh BERJASA sepertinya masih belum mampu direalisasikan pemimpin-pemimpin terkemuka hatta pembuat-pembuat dasar dalam negara kerana tiadanya ‘political will’ bagi memartabatkan Islam ini di kedudukan yang lebih tinggi dari yang sedia ada.