Ramai rakyat yang ternanti-nantikan akan pembentangan Belanjawan 2025 pada minggu ini namun perkhabaran mengenai ura-ura kerajaan akan memperkenalkan cukai warisan seolah menyentap minat mereka untuk mengetahui mengenai belanjawan ini.
Ramai pihak yang mula menyatakan bantahan terhadap pengenalan cukai warisan ini jika benar diperkenalkan oleh kerajaan kerana ia akan membunuh minat rakyat untuk membeli aset hartanah pada masa akan datang.
Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) berpendapat cukai ini akan membebankan kepada waris keluarga yang terpaksa menanggung cukai hartanah yang diwarisi daripada keluarga mereka.
Presiden REHDA, Datuk Ir Ho Hon Sang menegaskan bahawa tidak semestinya waris itu mampu menanggung cukai tersebut walaupun dilahirkan di dalam keluarga yang kaya sekalipun.
Itu baharu sahaja melibatkan dilema waris keluarga yang kaya maka bagaimana pula dengan waris daripada keluarga yang sederhana seperti M40 misalnya.
Keadaan ini juga akan mematikan hasrat rakyat untuk membeli rumah maka ia akan menimbulkan lambakan rumah yang tidak terjual oleh pemaju.
Namun begitu, Menteri Pengangkutan yang juga merangkap Setiausaha Agung DAP menafikan sekeras-kerasnya cukai warisan akan diperkenalkan oleh kerajaan dengan menegaskan ia tidak pernah dibawa berbincang di dalam mesyuarat Kabinet.
Apa Itu Cukai Warisan?
Cukai warisan juga dikenali sebagai “inheritance tax” atau “estate tax” adalah bayaran yang dikenakan oleh kerajaan ke atas warisan atau harta yang dimiliki oleh si mati.
Cukai ini biasanya dikenakan ke atas harta yang dipindahkan kepada pewaris atau benefisiari seperti tanah, hartanah, saham, wang simpanan dan barang berharga.
Terdapat dua bentuk utama cukai warisan yang perlu kita ketahui iaitu cukai harta dan cukai pindahan.
Cukai harta akan dikenakan ke atas jumlah nilai semua harta yang dimiliki oleh si mati sebelum ia diagihkan kepada pewaris yang mana jumlah ini termasuk harta tak alih, pelaburan dan aset lain.
Cukai pindahan pula dikenakan ke atas nilai harta yang diterima oleh pewaris dan pewaris perlu membayar cukai ke atas bahagian harta yang mereka terima bergantung kepada nilai harta tersebut.
Cukai warisan biasanya dikira berdasarkan nilai harta si mati. Sekiranya nilai harta tersebut melebihi had tertentu yang ditetapkan oleh kerajaan, cukai akan dikenakan ke atas lebihan tersebut.
Di banyak negara, kadar cukai warisan adalah progresif, yang bermaksud bahawa lebih besar nilai harta tersebut, lebih tinggi kadar cukai yang dikenakan.
Sebagai contoh, jika had minimum cukai warisan ialah RM1 juta dan harta peninggalan bernilai RM1.5 juta maka cukai hanya dikenakan ke atas lebihan RM500,000.
Bagus Ataupun Tidak Kepada Rakyat?
Ramai yang melihat cukai warisan ini satu instrumen yang baik untuk mengurangkan ketidaksamaan kekayaan antara generasi kerana ia akan mengurangkan pengumpulan harta oleh pewaris kaya.
Namun begitu, ia juga sering dianggap sebagai “cukai berganda” kerana harta tersebut mungkin telah dikenakan cukai sewaktu hidup si mati.
Rakyat juga sekarang ini berhadapan dengan kesukaran untuk membeli rumah pertama mereka dek kenaikan harga rumah yang terlalu tinggi maka wajar untuk kerajaan menilai dahulu perancangan ini sebelum melaksanakannya.
Di kala warga China semakin ramai membeli rumah di Malaysia iaitu sebanyak 24% untuk suku pertama tahun 2024, rakyat Malaysia yang merupakan penduduk tempatan hanya mampu melihatnya sahaja dan tinggal di rumah yang ruangannya begitu sempit.