Shah Alam – Projek Selatan Pulau Pinang jelas mendapat bantahan yang kuat daripada penduduk Pulau Pinang.
Masyarakat umum terutama penduduk di selatan pulau pinang telah menzahirkan rasa terkejut dengan kelulusan projek PSI, yang akan melibatkan pembuatan 3 pulau dengan keluasan 4,700 ekar.
Projek PSI ini telah ditentang hebat oleh para penduduk, aktivis masyarakat dan Persatuan Nelayan dan aduan kepada PMX juga telah disampaikan, tetapi tiada tindakan lanjut dilakukan.
Hal ini kerana projek tersebut telah tersasar daripada tujuan asalnya, sebaliknya lebih banyak menumpukan kepada kepentingan sesetengah pihak serta mengabaikan kelestarian alam sekitar dan menjejaskan punca rezeki golongan nelayan.
Ketua Penerangan BERJASA, Mohd Hamdan menegaskan walaupun projek PSI telah diberikan kelulusan oleh Kerajaan dengan 71 syarat , ia tetap memberi kesan langsung yang negatif kepada kepentingan penduduk dan akan mengorbankan hak rakyat setempat yang majoritinya B40 dan M40 seperti nelayan dan pengusaha hasil laut setempat dan utara tanah air, serta kepentingan penjagaan alam sekitar yang kesannya akan dirasai bukan sahaja rakyat negeri Pulau Pinang, malah negeri- negeri berhampiran.
“Persoalan besar yang perlu dijawab, siapa yang mendapat manfaat paling besar? Siapakah penduduk dan pemilik hartanah- hartanah dan perniagaan di tanah yang ditambak tersebut?”
“Projek tambak laut yang telah dilakukan di Seri Tanjung Pinang (Straits Quay) contohnya, adakah hak penduduk asal dipelihara , dan siapakah yang memiliki hartanah tersebut? Bukankah ia dari golongan T20 dalam dan luar negara?”
“Malah, kesan langsung kepada para nelayan di kawasan sekitar sangat ketara, selain kerosakan langsung kepada ekosistem alam sekitar.”
“Kenapa perlu korbankan nasib dan hak rakyat yang sedia susah, dari B40 dan M40 ini untuk kepentingan dan senyuman T20 semata- mata?”, soal beliau.
Beliau menambah, integriti Kerajaan Pulau Pinang dalam perlaksanaan projek juga perlu diberi perhatian.
Kes perbicaraan rasuah mantan Ketua Menteri Pulau Pinang, YB Lim Guan Eng dalam isu perlaksanaan projek terowong bawah laut juga masih belum selesai, ditambah dengan projek PSI ini yang ada kemungkinan boleh berlaku isu integriti, 71 syarat tersebut mungkin tidak dipenuhi. Maka kesannya adalah amat buruk kepada negara.
“Saya mewakili parti BERJASA menyeru supaya pihak Kerajaan campur tangan dalam projek PSI ini untuk menangguhkannya, dan lebih prihatin terhadap kepentingan rakyat.”
“Sesi libat urus yang telus dengan masyarakat serta pihak berkepentingan wajib dilaksanakan, dan suara mereka wajib didengari”, tegas beliau.
Projek PSI yang sebelum ini dikenali sebagai Penang South Reclamation (PSR) adalah projek mega melibatkan tambakan bagi mewujudkan tiga pulau dengan keluasan 1,821 hektar di kawasan selatan Pulau Pinang.
Projek tersebut yang mula diperkenalkan pada 2015 merupakan modul pembiayaan Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) bernilai RM46 bilion selepas SRS Consortium dilantik sebagai rakan pelaksana projek untuk PTMP pada 14 Ogos 2015.