SEPANG – Sebahagian tawanan Palestin yang dibebaskan Israel adalah sekumpulan insan yang wajar menjadi aspirasi semua pemudi. Mereka dilihat begitu tabah dan kuat dalam menghadapi pelbagai dugaan sewaktu menjadi tahanan semata-mata memperjuangkan kebebasan untuk negara mereka.
Ketua Pemudi BERJASA Sepang, Izaty Rosli ketika dihubungi oleh Gelombang BERJASA berkata pemudi Gaza tahanan Israel amat tabah, cekal dan kuat. Bertambah terharunya apabila ada di kalangan mereka yang keluar daripada tahanan penjara dengan keadaan yang tidak sempurna seperti tangan yang dipatahkan dan dicederakan anggota badan. Namun mereka masih mengukir senyuman sebagai tanda gembira untuk bertemu dengan ahli keluarga masing-masing.
“Mereka dipenjara Israel bertahun lamanya, bayangkan keperitan yang dialami berbanding kita di sini. Mental, fizikal bahkan rohani mereka menakjubkan, kebergantungan hanya kepada Allah”.
“Kita dapat lihat melalui contoh seorang pemuda bernama Malak Suleiman yang ditangkap berusia 16 tahun pada 2016 oleh tentera Israel yang bertindak menculiknya dalam perjalanan pulang sekolah atas tuduhan ‘cubaan menikam'”.
“Hari ini, 8 tahun kemudian beliau dibebaskan dalam perjanjian pertukaran tahanan pejuang Palestin dan penjajah Israel,” katanya.
Sehingga kini beberapa laporan media antarabangsa seperti Al Jazeera melaporkan bahawa dijangka tempoh lanjutan pembebasan tahanan di kedua belah pihak iaitu Palestin dan rejim Israel akan berlanjutan sehingga tarikh yang akan dimaklumkan kemudian.