Pelan Hala Tuju Gas Asli: Potensi Mengancam Kedaulatan Ekonomi Negara?

hala tuju gas asli


Pada suku ketiga tahun 2025, kerajaan Malaysia melalui Kementerian Ekonomi akan melancarkan Pelan Hala Tuju Gas Asli. Inisiatif ini bertujuan untuk mengurangkan dominasi Petronas dan Gas Malaysia Berhad dalam industri gas negara dengan memperkenalkan lebih banyak pemain dalam pasaran. Langkah ini dijangka dapat meningkatkan pelaburan dalam sektor gas asli dan merangsang sumbangan bernilai RM52 bilion kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Namun, di sebalik retorik menarik mengenai liberalisasi pasaran, persoalan besar yang harus ditanya ialah: apakah Malaysia akan kehilangan kawalan terhadap sumber gas asli yang merupakan aset strategik negara? Adakah pemecahan monopoli ini hanya membuka ruang kepada pengaruh asing untuk menguasai sektor tenaga negara?

Sistem Akses Pihak Ketiga (TPA): Membuka Pintu kepada Persaingan atau Penjajahan Ekonomi?

Usaha ke arah liberalisasi industri gas telah dimulakan menerusi pindaan Akta Bekalan Gas 2016 yang memperkenalkan Sistem Akses Pihak Ketiga (TPA). Sistem ini membolehkan syarikat selain Petronas mendapatkan lesen untuk menggunakan infrastruktur gas negara, termasuk terminal penggasan semula serta rangkaian talian paip penghantaran dan pengagihan, bagi menjual gas kepada pengguna.

Namun, hingga 2023, hanya dua penghantaran gas asli cecair (LNG) dilakukan oleh pihak ketiga, menunjukkan bahawa sistem ini masih belum dapat beroperasi secara optimum. Apakah kerajaan benar-benar yakin bahawa pelaksanaan liberalisasi ini akan menguntungkan negara, atau adakah ia hanya akan memberi kelebihan kepada syarikat asing yang akan mula menguasai industri ini dengan modal dan jaringan global mereka?

Liberalisasi Pasaran: Peluang atau Risiko Kehilangan Kedaulatan?

Langkah kerajaan untuk memecahkan monopoli dalam industri gas dilihat sebagai usaha untuk menggalakkan persaingan dan meningkatkan kecekapan pasaran. Namun, terdapat kebimbangan bahawa liberalisasi ini mungkin membawa kepada kehilangan kedaulatan ke atas aset strategik negara.

BINA2040 menegaskan bahawa Malaysia perlu mengekalkan kawalan terhadap aset strategik seperti sumber tenaga bagi memastikan kepentingan negara terjamin. Sejarah telah menunjukkan bahawa apabila sesuatu sektor dibuka kepada pihak luar tanpa kawalan ketat, ia akan membawa kepada eksploitasi sumber negara oleh kapitalis besar yang akhirnya melemahkan ekonomi tempatan.

Dokumen ini turut mengkritik dasar yang terlalu bergantung kepada pemain luar dalam sektor tenaga dan sumber asli, yang boleh mengakibatkan kehilangan kawalan ke atas industri penting. Jika liberalisasi ini tidak dikawal dengan baik, adakah Malaysia akan menjadi ‘tuan di tanah sendiri’ atau hanya menjadi penonton dalam industri yang sepatutnya dikuasai oleh rakyat tempatan?

BERJASA: Jangan Biarkan Aset Strategik Jatuh ke Tangan Asing!

Ketua Penerangan Parti BERJASA, Hamdan Sharif menegaskan bahawa kerajaan harus lebih berhati-hati dalam pelaksanaan liberalisasi industri gas ini. Meskipun persaingan boleh membawa manfaat ekonomi, ia tidak boleh dijadikan alasan untuk membuka pintu seluas-luasnya kepada syarikat asing yang akhirnya boleh menguasai sektor tenaga negara.

BINA2040 menekankan bahawa Malaysia harus membangunkan industri pemprosesan sumber asli secara kendiri, tanpa membuka ruang terlalu luas kepada pihak luar yang mungkin mengeksploitasi sumber negara. Ini bermakna kerajaan perlu memperkasakan industri tempatan terlebih dahulu sebelum memberi ruang kepada syarikat luar untuk masuk ke dalam pasaran.

“Selain itu, sebarang langkah liberalisasi perlu dilakukan dengan kawalan ketat bagi mengelakkan monopoli baharu oleh syarikat asing atau kapitalis besar yang akhirnya akan menjejaskan ekonomi tempatan. Jika kerajaan benar-benar mahu memastikan persaingan sihat, mereka perlu memastikan bahawa syarikat tempatan juga diberi peluang yang sama rata untuk bersaing dalam sektor ini.” katanya lagi

Kedaulatan Ekonomi atau Keuntungan Jangka Pendek?

Pelancaran Pelan Hala Tuju Gas Asli oleh kerajaan Malaysia merupakan langkah signifikan ke arah liberalisasi industri gas negara. Walaupun ia berpotensi membawa manfaat ekonomi melalui peningkatan pelaburan dan persaingan, perhatian serius tetap perlu diberikan terhadap implikasi membabitkan kedaulatan ekonomi dan keselamatan negara.

“Jika kerajaan terlalu ghairah membuka sektor ini tanpa memastikan kepentingan negara dilindungi, tidak mustahil Malaysia akan kehilangan kawalan ke atas sumber tenaga sendiri.
BERJASA menyeru kerajaan untuk mengambil pendekatan seimbang yakni mengutamakan kepentingan nasional sambil memastikan sektor tenaga negara berkembang dengan cara yang tidak menggadaikan aset strategik kepada pihak luar. Jangan kerana keuntungan jangka pendek, kita mengorbankan masa depan industri tenaga negara dan seterusnya kedaulatan ekonomi Malaysia.”, tambahnya lagi.

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post
Lim Guan Eng

akta Antidiskriminasi Kaum: Petanda Usaha Menghapus Hak Bumiputera & Islam sedang Berjalan?

Next Post
warga asing

Sindiket Pemalsuan Dokumen: Punca Mudahnya Warga Asing Masuk Malaysia?

Related Posts