Peristiwa tembakan dalam menjaga kedaulatan perairan negara yang berlaku di
perairan Tanjung Rhu, Banting, Selangor melibatkan anggota Agensi Penguatkuasaan
Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) terhadap warga Indonesia, telah menjadikan keadaan
diplomatik antara Malaysia dan Indonesia sedikit tegang. Insiden ini menyaksikan seorang
warga Indonesia maut manakala beberapa lagi cedera.
Namun, tindakan kerajaan yang merehatkan anggota Maritim Malaysia telah menimbulkan
persoalan kerana Menteri yang bertanggungjawab, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri
Saifuddin Nasution Ismail sepatutnya lebih berpihak kepada pasukan keselamatan negara
yang telah meletakkan nyawa mereka sebagai pelindung kepada kedaulatan perairan negara,
bukannya memberi tekanan kepada pasukan sendiri demi menjaga hati negara luar
Maritim Malaysia Hanya Menjalankan Tugasnya Menjaga Kedaulatan Perairan Malaysia, Mengapa Dihukum?
Anggota Maritim Malaysia adalah “frontliner” yang menjaga kedaulatan negara daripada
ancaman penceroboh dan penyeludup. Perairan Malaysia sering menjadi sasaran
penyeludupan manusia, dadah, dan jenayah rentas sempadan, dan tugas mereka adalah
mempertahankan perairan negara dari sebarang ancaman dan provokasi.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata sebuah bot yang dihuni oleh 2 warga asing cuba menyerang pegawai Maritim Malaysia dengan parang. Pada jam 3 pagi insiden ini terjadi sejurus selepas warga Indonesia tersebut merempuh bot yang dinaiki pegawai Maritim tersebut sebanyak empat kali.
Jadi, mengapa anggota yang menjalankan tugas serta pertahankan diri sendiri pula seperti
dihukum? Adakah kerajaan lebih rela membiarkan kedaulatan negara diceroboh daripada
mempertahankan pasukan keselamatan sendiri? Seorang Menteri yang sayangkan tanah air
mustahil tunduk kepada desakan negara luar dan menekan anggota keselamatan negara sendiri
hanya untuk meredakan ketegangan diplomatik!
Kedaulatan Negara Tidak Boleh Ditolak Ansur
Tindakan kerajaan yang berkompromi akan kedaulatan perairan negara sepatutnya dikecam kerana ini menunjukkan kerajaan hari ini lemah dan mudah tunduk kepada tekanan luar. Siasatan menyeluruh perlu diambil oleh pihak berkuasa sebelum Menteri membuat keputusan yang agak drastik iaitu merehatkan anggota kita yang berjuang untuk Malaysia.
Keputusan kerajaan yang merehatkan anggota Maritim Malaysia tanpa menunggu hasil
siasatan seolah-olah satu ‘penghinaan’ kepada pasukan keselamatan negara. Sepertinya, kerajaan memilih untuk menekan rakyat sendiri daripada menjunjung orang yang telah menjaga keselamatan negara serta lebih takut kepada tekanan politik luar berbanding mempertahankan kedaulatan!
Malaysia Dahagakan Pemimpin Yang Berani Memperjuangkan Kuasa Nasional Bukan Sekadar “Yes Man”
Menjaga hubungan diplomatik tidak semestinya kerajaan perlu tunduk sewenang-wenangnya permintaan negara lain. Wakil rakyat yang tunduk kepada tekanan asing sepatutnya tidak diangkat menjadi pemimpin negara kerana tindakannya tampak lemah dalam mempertahankan tanah air ini.
Kesiapsiagaan Malaysia menjelang IMPIAN NASIONAL BERJASA 2040 menggambarkan tanah ini
amat terdesak memerlukan pemimpin patriotik yang akan mengutamakan nasib negara. Oleh yang demikian, rakyat secara keseluruhan sepatutnya bersama-sama menuntut keadilan untuk anggota Maritim Malaysia yang telah dihukum terlebih dahulu tanpa siasatan yang adil dan menyeluruh.