BANGI – Penolakan kerajaan negeri Sarawak dan Sabah terhadap pelaksanaan PADU membuktikan program itu adalah separuh masak, tidak selamat dan dibangunkan secara membabi buta. PADU dilihat masih belum meyakini rakyat untuk mendaftarnya atas sebab privasi maklumat dan data peribadi yang dikhuatiri bocor dengan mudah.
Naib Presiden BERJASA, Ir Ts Muhammad Lukman Al-Hakim Mohamad berkata, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli ternyata berbohong kepada seluruh rakyat kononnya sistem ini selamat dan berkesan bagi melaksanakan inisiatif subsidi bersepadu rakyat.
“Kenapa selepas dilancarkan baru Perdana Menteri minta dibentangkan dalam kabinet? Sebelum ini tiada siapa pimpinan kerajaan yang menyemak dan memastikan ia benar-benar efektif dan ‘bullet proof’?
“Kepincangan seperti ini memalukan dan menyebabkan rakyat semakin hilang percaya kepada kemampuan kerajaan mentadbir negara. Hapuskan sahaja PADU, Turunkan sahaja kerajaan,” katanya melalui satu kenyataan pada Rabu.
Hal ini susulan daripada kritikan orang ramai terhadap pendaftaran PADU yang memerlukan pendaftar untuk memberikan maklumat peribadi yang sulit seperti maklumat akaun bank, pelaburan dan hartanah.
Dalam pada itu, Kementerian Ekonomi akan mengadakan satu sesi taklimat kepada wakil kerajaan Sarawak berkenaan isu keselamatan dan perlindungan bagi isu ini dalam masa terdekat. Rafizi berkata, bagi memastikan integriti data dan kebocoran data tidak dilakukan oleh pegawai yang mempunyai akses kepada data, penilaian tahap integriti pegawai telah diambil kira melalui proses tapisan keselamatan oleh CGSO.
Selain itu juga, dilaporkan bilangan pendaftar dalam kalangan orang bukan Melayu masih rendah dan tidak memuaskan.