SHAH ALAM – Pada 26 Februari 2025, suatu Rang Undang-Undang (RUU) Majlis Media Malaysia (MMM) diluluskan di Dewan Rakyat selepas sesi perbahasan. Dalam Fasal 17 Rang Undang-Undang (RUU) Majlis Media Malaysia (MMM) memperuntukkan penubuhan Dana Majlis Media Malaysia, yang akan diurus dan dikawal oleh majlis tersebut.
RUU tersebut menggariskan penerimaan peruntukan kewangan daripada Parlimen dari semasa ke semasa, serta boleh menerima dana asing tanpa sebarang syarat daripada mana-mana individu atau organisasi luar, dengan syarat ia digunakan untuk mempromosikan kesedaran dan menyediakan pendidikan berkaitan industri media, tertakluk kepada kelulusan Menteri.
Menurut Ketua Penerangan BERJASA, Hamdan Sharif, “Mengapa MMM membuka penerimaan dana asing? Adakah selepas memberi dana mereka duduk sahaja? Tiada sebarang tuntutan? Sudah tentu ada kawalan asing secara langsung. Jika pendana asing inginkan kekacauan, maka media bawa naratif songsang, isu-isu kecil akan dibesarkan untuk bakar lagi isu seperti kes DJ Era”.
Menurutnya lagi, “Kerajaan hari ini dilihat terlalu banyak membuka ruang kawalan asing ke atas ruang strategik Negara. Selepas aset lapangan terbang, aset strategik Negara di berikan pemilikan asing, pihak yang berkait dengan pendokong Zi0n1s, sekarang dibuka seluasnya untuk ruang media pulak? Ancaman ini boleh membuka ruang bahaya besar unsur subversif, peniupan api permusuhan, dan laporan media yang berat sebelah, juga unsur rasuah dan salahguna kuasa.”
“Kebebalan dan kejahilan pemimpin Negara harini sudah di tahap amat membimbangkan. Isu ini, sangat ketara dan kesan serta akibatnya amat besar dan tidak dapat dibayangkan”.
Ketua Penerangan BERJASA menegaskan “Sekiranya kerajaan menerima dana asing bagi entiti kawalan media negara, ia boleh memberikan kesan yang signifikan dari sudut politik, ekonomi, keselamatan, dan kedaulatan maklumat”. Beliau menyatakan beberapa analisis mengenai implikasi utama terhadap isu ini:
- Kesan Politik dan Kedaulatan Negara
Pengaruh Asing terhadap Naratif Nasional: Dana asing boleh digunakan untuk membentuk agenda politik, sosial, dan ekonomi yang sejajar dengan kepentingan pemberi dana. Ini berpotensi menyebabkan ketidakseimbangan dalam laporan berita, memihak kepada negara penderma atau agenda ideologi tertentu.
Ketergantungan kepada Kuasa Luar: Jika entiti media terlalu bergantung kepada sumber dana luar, ia boleh mengurangkan kebebasan dan autonomi editorial, menjadikannya alat propaganda pihak asing.
Ketidakstabilan Politik: Media yang dibiayai oleh entiti asing boleh memainkan peranan dalam destabilisasi politik, sama ada dengan mencipta naratif provokatif atau menyemarakkan sentimen anti-kerajaan. - Kesan Ekonomi dan Kelangsungan Industri Media
Persaingan Tidak Seimbang: Media tempatan yang bergantung kepada dana dalaman mungkin sukar bersaing dengan entiti media yang menerima sokongan kewangan besar dari luar, mengancam daya saing industri tempatan.
Potensi Manipulasi Pasaran: Pelaburan asing yang besar dalam media boleh menyebabkan penguasaan pasaran oleh pemain luar, menghakis daya tahan ekonomi media nasional. - Kesan Keselamatan Maklumat dan Teknologi
Kebocoran Maklumat Strategik: Media yang dibiayai oleh asing mungkin digunakan untuk mengakses dan menyebarkan maklumat strategik negara, termasuk data keselamatan, politik, dan ekonomi.
Penggunaan Teknologi untuk Pengaruh: Dengan kawalan terhadap media digital, penderma asing boleh menggunakan AI dan data analytics untuk menyasarkan segmen masyarakat tertentu dengan propaganda atau maklumat palsu. - Implikasi terhadap Kebebasan Media
Ancaman terhadap Objektiviti dan Integriti Kewartawanan: Media yang bergantung kepada dana asing mungkin memilih untuk tidak melaporkan isu tertentu yang boleh merosakkan kepentingan penderma, menjejaskan integriti kewartawanan.
Penyebaran Propaganda Terselindung: Penyampaian berita boleh dimanipulasi secara halus untuk membentuk persepsi awam tanpa disedari, menjadikan media sebagai alat soft power.
Saudara Hamdan mencadangkan agar penerimaan dana asing oleh entiti media negara perlu dikawal dengan mekanisme ketat. Pertama perlu ada ketelusan sumber pembiayaan iaitu berlaku pendedahan penuh tentang siapa yang membiayai media dan dalam apa bentuk sekali pun.
Kedua, wujudkan akta kawalan media asing seperti yang diamalkan di beberapa negara bagi mengehadkan pengaruh luar terhadap media tempatan. Ketiga, mengukuhan daya saing media tempatan melalui pelaburan dalam media bebas dan platform tempatan untuk mengurangkan kebergantungan kepada dana asing. Dalam konteks geopolitik semasa, kawalan terhadap media yang menerima dana asing adalah kritikal untuk memelihara kedaulatan informasi dan kestabilan nasional.