Kuala Lumpur: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menafikan penglibatan anggota tentera ke Palestin seperti yang ditular menerusi platform Tik Tok, pada Ahad.
Markas ATM, dalam kenyataan pada malam Ahad, mengesahkan ia adalah video lama mengenai sekumpulan anggota ATM yang ditugaskan ke Lubnan pada 2022.
“ATM telah meneliti kandungan video tersebut dan mendapati ia merupakan sebuah video lama mengenai misi pengaman Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) bagi Kumpulan Malaysian Battalion 850- 10 (MALBATT 850-10) ke Lubnan pada tahun 2022.
“ATM menafikan kandungan video tular tersebut dan mengesahkan bahawa ia adalah tidak benar sama sekali,” katanya.
Markas ATM meminta masyarakat agar tidak membuat sebarang andaian atau menularkan sebarang perkara yang tidak pasti atau berita palsu kerana ia boleh mengundang pelbagai spekulasi dan mencetuskan suasana panik dalam kalangan masyarakat.
“Adalah ditegaskan bahawa mana-mana individu yang didapati menyebarkan berita palsu boleh didakwa di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998,” menurut kenyataan itu.
— BERNAMA