BANGI – Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) telah berjaya membuktikan beras putih tempatan dicampur dalam beras import melalui kajian menggunakan teknologi pengcapjarian asid deoksiribonukleik (DNA) dan kajian ini telah dijalankan sepanjang tahun 2023 dan 2024. Beras campuran ini dijual dan dilabel dengan label beras import. Hal ini, membuktikan kerajaan perlu bertanggungjawab dan bertindak dengan pantas bagi menyelesaikan masalah ini.
Presiden BERJASA, Ustaz Zamani Ibrahim berkata, “Bagi saya dengan keluarnya beras tempatan sebanyak 400 ribu untuk keperluan keluarga seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri, ini bukti isu beras belum selesai dan makin terserlah kegagalan kerajaan”.
Menurutnya “Sebelum ni beras tempatan berada dipasaran 70% dengan harga RM26 bagi 10KG beras. 70% dipasaran itu, boleh menampung 23.8 juta rakyat Malaysia. Sekarang beras tempatan yang diumumkan oleh kerajaan yang telah hilang hampir setahun lebih hanya boleh menampung 400 ribu keluarga sahaja. Bayangkan jurang perbezaan peratusan dulu dan sekarang. Beras negara merupakan makanan ruji bagi negara kita, sepatutnya tidak boleh diberikan kuasa kepada orang tengah untuk mengeksploitasi makanan ruji negara kita”
Ustaz Zamani menyatakan kebimbangan berkenaan isu taikun atau kartel makanan ruji negara kita ini. “Pada November 2024, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh, mengatakan Perdana Menteri akan mendedahkan siapa sebenarnya taikun beras kerana Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) telah menyiapkan laporan berkenaan isu ini, hanya menunggu untuk diumumkan oleh Perdana Menteri”.
“Sekarang sudah masuk bulan Mac 2025, kenapa Perdana Menteri tidak mampu mengisytiharkan siapa kartel beras, rakyat nak tahu siapa mereka. Berkuasa sangatkah? Hebat sangatkah taikun ni? Maka Perdana Menteri bersegeralah isytiharkan kerana rakyat sedang menunggu sosok tubuh kartal beras ini. Di bawah kelolaan Perdana Menteri adanya berpuluh-puluh kementerian, adanya beratus jabatan dan mungkin beribu agensi bermakna sebuah kerajaan mempunyai kekuatan untuk merisik siapa taikun beras, tapi masih gagal lagi?”
“Tahniah kepada MARDI dengan integritinya telah mampu menunjukkan beras tempatan telah bercampur beras import tetapi harganya menggunakan harga beras import. Apabila MARDI telah membuktikan isu percampuran beras ini, kerajaan sepatutnya bertindak dengan pantas, kenapa kerajaan masih gagal lagi untuk mendedahkan siapa taikun beras, siapa yang menggunakan kaedah kapitalis dalam menguasai beras ini?”
Ustaz Zamani menegaskan “Isu beras belum selesai. Semakin hari semakin terserlah kegagalan kerajaan dalam isu beras. Kalau sayur-sayuran antara gunung ke gunung bukan lagi dimiliki kerajaan, tetapi diusahakan oleh taikun-taikun. Kalau dilautan sotong, ikan udang dan sumber lautan lain telah dikuasai oleh taikun-taikun, mereka yang menentukan harga pasaran. Adakah beras pun kita nak serahkan kepada taikun-taikun untuk kuasai?”.
Ustaz Zamani melontarkan beberapa cadangan agar pihak-pihak yang terlibat bertindak pantas bagi menangani isu ini. Pertama, pembangkang dalam parlimen sebagai suatu kuasa semak dan imbang dalam kerajaan, teruskan bersuara supaya kerajaan menyelesaikan isu beras ini bukan sekadar mengadakan dipasaran 400 ribu keperluan keluarga sahaja.
Kedua, kerajaan menggunakan kekuatan agensi atau jabatan untuk menyelongkar siapakah taikun itu, dan heret mereka ke muka keadilan, sumbatkan mereka ke dalam penjara. Perkara ini yang pernah diungkapkan oleh Perdana Menteri. Perkara ini yang rakyat tuntut dan rakyat nak lihat ketegasan Perdana Menteri dapat dibuktikan. Lihatlah akta mana yang berkenaan untuk dikenakan kepada taikun-taikun ini. Mustahil tidak ada hukuman yang boleh dikenakan keatas pesalah yang telah mencampurkan beras tempatan dengan beras import? Sedangkan akta beras ini merupakan akta paling banyak dalam negara kita.
Ketiga, kita hendaklah menubuhkan Lembaga Padi Negara, lembaga ini perlu diwujudkan semula supaya kerajaan berperanan langsung dalam menguruskan beras negara ini. Beras adalah makanan ruji dan merupakan sumber nasional yang perlu dimiliki oleh negara . Akhir sekali, beliau mengharapkan kerajan serius dalam menangani isu ini sehingga selesai.