Beberapa hari yang lepas tular mengenai satu video yang memaparkan temu bual bersama para graduan yang baru bergraduasi meminta gaji minimum graduan sebanyak RM3,000 untuk mereka di alam pekerjaan nanti.
Ada juga yang meminta gaji permulaan sebanyak RM4,000 di dalam temu bual itu dan jawapan yang diberikan oleh mereka ini mendapat reaksi yang berbeza daripada para pengguna media sosial.
Sebahagian daripada pengguna media sosial yang menonton video itu memperlekehkan jawapan graduan itu dengan mengatakan ia hanya angan-angan sahaja.
Terdapat juga yang mengatakan jumlah gaji yang diminta oleh mereka itu terlalu besar dan tidak berbaloi untuk dibayar kepada pekerja yang masih kurang pengalaman.
Tidak kurang juga ada yang menyokong permintaan graduan tersebut dengan mengatakan sudah masanya graduan dibayar dengan gaji yang bermaruah sesuai dengan pengorbanan mereka untuk menghabiskan pengajian.
Reaksi yang pelbagai daripada pengguna media sosial ini nyata telah menimbulkan perdebatan tentang logikkah untuk graduan memohon gaji minimum atau gaji permulaan sebanyak itu?
Gaji Minimum Graduan Kini Tidak Selaras Dengan Kenaikan Kos Sara Hidup
Hasil daripada penelitian dan pemerhatian yang telah dibuat dalam soal gaji minimum ini, permintaan graduan tersebut sebanyak RM3,000 itu ada asasnya jika melihat senario peningkatan kos sara hidup kini.
Menurut Kajian Pendapatan Isi Rumah dan Kemudahan Asas yang diterbitkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, perbelanjaan purata isi rumah meningkat setiap tahun.
Di bandar besar, perbelanjaan untuk sewa rumah, makanan dan pengangkutan adalah antara yang paling tinggi maka dengan gaji minimum RM1,700, banyak keluarga yang terpaksa mengikat perut dan menanggung hutang hanya untuk menampung keperluan asas.
Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) dalam kajiannya menunjukkan bahawa pendapatan golongan muda di Malaysia tidak meningkat selari dengan kos sara hidup.
Malah, gaji permulaan bagi ramai graduan telah stagnan atau hanya meningkat sedikit sejak beberapa tahun lalu.
Jurang ini akhirnya menyebabkan lebih ramai anak muda merasa sukar untuk memiliki rumah atau mencapai kestabilan kewangan.
Selain itu, Malaysia mempunyai kadar hurang isi rumah yang tinggi dan antara yang tertinggi di Asia Tenggara.
Sebilangan besar rakyat Malaysia menggunakan hutang untuk menampung kos sara hidup dan perbelanjaan harian dan ini menunjukkan ketidakseimbangan antara pendapatan serta kos sara hidup yang juga menjadi indikator bahawa gaji minimum semasa tidak mencukupi.
Graduan Layak Dibayar Dengan Kadar Yang Bermaruah
Para graduan di Malaysia layak untuk dibayar dengan gaji yang bermaruah selaras dengan penat lelah dan pengorbanan mereka ketika menyambung pengajian di institusi pengajian tinggi (IPT).
Graduan telah melabur masa, tenaga dan wang untuk melengkapkan pengajian mereka dan gaji minimum RM3,000 adalah pengiktirafan terhadap usaha dan pelaburan mereka maka ini boleh meningkatkan motivasi mereka untuk terus menyumbang kepada syarikat dan ekonomi secara keseluruhan.
Penetapan gaji yang lebih tinggi dapat mendorong majikan untuk memberikan latihan, peluang peningkatan kemahiran dan tanggungjawab yang lebih tinggi kepada graduan.
Hal ini berpotensi meningkatkan kualiti dan produktiviti tenaga kerja sekaligus memberi manfaat kepada ekonomi Malaysia dalam jangka masa panjang.
Bukan itu sahaja malahan Malaysia boleh mengurangkan “brain drain” ataupun penghijrahan bakat di mana graduan memilih untuk bekerja di luar negara dengan gaji yang lebih baik.
Bakat dan nilai mereka penting untuk dinilai oleh semua majikan kerana tidak semua graduan yang terdiri daripada Gen Z ini mempunyai sikap yang buruk seperti yang dicanang oleh ramai orang.
Mereka layak untuk mendapatkan gaji yang berpatutan bagi memastikan mereka dapat menjalani kehidupan yang lebih baik.