Shah Alam – Sambutan yang amat menggalakkan daripada masyarakat sekitar Kampung Jawa yang menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri BERJASA Sungai Kandis pada Sabtu lepas.
Majlis tersebut yang diadakan bertempat di Restoran ADFA Tomyam dianggarkan menerima kedatangan pengunjung seramai lebih 1,000 orang.
Antara menu makanan yang dihidangkan di majlis tersebut ialah lemang, mee sup, nasi impit bersama kuah kacangan, sate dan roti jala.
Yang Di-Pertua BERJASA Parlimen Kota Raja, Ahmad Fahmi Hanapiah ketika ditemubual berkata, beliau berasa terharu atas kehadiran ramai masyarakat di sekitar Kota Raja ke majlis ini.
“Alhamdulillah sambutan yang diberikan oleh masyarakat di sini begitu baik sekali. Ramai golongan ibu-ibu, anak-anak yang datang ke majlis ini sehinggakan tidak cukup ruang meja dan kerusi untuk semua orang”.
“Walaupun cuaca pada malam ini agak sedikit hujan namun kedatangan mereka ke sini tidak putus-putus”, kata beliau.
Ketua Pemuda BERJASA, Fahmi Bazlan yang juga ketika ditemui di majlis yang sama berkata, kehadiran yang begitu ramai daripada masyarakat kawasan ini memberikan petanda positif bahawa BERJASA sudah mula diterima oleh orang ramai.
“Sambutan yang diterima agak baik dan diharapkan majlis ini menjadi penyambung kepada BERJASA untuk memberikan khidmat yang baik kepada masyarakat di sini selepas ini.”
“Diharapkan juga masyarakat di sini dapat bersama BERJASA untuk bersama-sama menyumbang khidmat yang baik kepada Parlimen Kota Raja seterusnya melebarkan sayap ke DUN Sentosa dan DUN Kota Kemuning selepas ini. In sha Allah”, kata beliau.
Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri BERJASA Sungai Kandis dianjurkan sebagai satu inisiatif untuk meraikan dan merapatkan hubungan bersama masyarakat sekitar Kota Raja.
Turut dihadiri adalah Presiden BERJASA, Ustaz Zamani Ibrahim, Naib Presiden BERJASA I, Hj. Abdul Samad Ashaari, Naib Presiden BERJASA II, Ir. Ts Lukman Al Hakim dan Ketua Wanita BERJASA, Dr. Hjh. Fadilah Ashari.