Cadangan kerajaan Madani untuk membenarkan rakyat Malaysia dibenarkan membayar insurans kesihatan dengan menggunakan simpanan Akaun 2 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mendapat pandangan yang tidak begitu menyokong daripada orang ramai.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menegaskan langkah ini dapat memberikan manfaat kepada lebih 16 juta ahli KWSP bagi mendapatkan perlindungan kesihatan yang lebih baik termasuk akses rawatan di hospital kerajaan mahupun swasta.
Beliau melihat pendekatan ini sudah pun diguna pakai di beberapa negara luar maka beliau berpandangan ini adalah langkah yang baik untuk Malaysia.
Kenyataan beliau sedemikian kelihatan agak “cacat” kerana membandingkan jumlah simpanan warga negara luar dengan rakyat Malaysia sememangnya tidak padan dan sesuai.
Hal ini tidak boleh dinafikan bahawa rakyat tidak akan mengeluarkan mengeluarkan duit poket mereka sendiri kerana pembayaran insurans kesihatan itu akan dibayar menggunakan wang di dalam Akaun 2 KWSP namun ia sebenarnya akan memberi kesan kepada kehidupan selepas bersara nanti.
Kerajaan sepatutnya sedar bahawa rata-rata orang Malaysia terutamanya yang berbangsa Melayu dilanda dengan masalah jumlah wang simpanan persaraan KWSP yang tidak mencukupi untuk bersara.
Jadi adakah logik solusi yang diberikan oleh Menteri Kesihatan untuk menggunakan Akaun 2 KWSP bagi menampung pembiayaan insurans kesihatan?
Mungkin mereka mampu membayar untuk insurans kesihatan buat masa ini namun kesannya jumlah wang persaraan mereka tidak akan mampu menampung kehidupan setelah bersara nanti.
Guna Wang Persaraan Dalam KWSP, Orang Melayu Sendiri Tidak Cukup Wang Untuk Bersara
Laporan The State of Households 2024 oleh Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) mendedahkan bahawa lebih 90 peratus pencarum KWSP berusia bawah 30 tahun tidak mempunyai simpanan asas mencukupi untuk hari tua.
Hanya 10 peratus dalam kumpulan umur ini mempunyai simpanan melebihi RM35,000, sedangkan itulah jumlah minimum yang disasarkan menjelang usia 30 tahun untuk mencapai simpanan RM240,000 pada umur 55 tahun.
Jika melihat kepada pecahan komposisi mengikut kaum pula, purata simpanan ahli KWSP setakat 31 Disember 2024 bagi orang Melayu adalah sebanyak RM43,843 jauh ketinggalan berbanding orang Cina yang memiliki simpanan sebanyak RM151,988 dan India pula sebanyak RM72,582.
Melihat kepada data ini, simpanan purata RM43,843 bagi orang Melayu adalah cukup rendah dan dapatan kajian Bank Negara serta ESCAP menunjukkan bahawa individu dengan jumlah simpanan sedemikian hanya akan bertahan beberapa tahun sahaja.
Jumlah wang persaraan ini tidak cukup untuk tempoh jangka panjang iaitu selama 20 tahun persaraan.
Malahan ada sumber yang mengatakan bahawa dapatan ini memperlihatkan bahawa orang Melayu yang berkategori B40 hanya boleh mengeluarkan RM4 sebulan sahaja untuk berbelanja.
Maka kerajaan sepatutnya memikirkan logik bagaimana untuk orang Melayu boleh bersara dengan cukup selesa jika wang persaraan yang tidak mencukupi ini digunakan untuk membiayai insurans kesihatan.
Insurans kesihatan Mahal, Kemiskinan Kesihatan Akan Dirasai Oleh Orang Melayu
Fenomena yang amat dikhuatiri berlaku adalah apabila orang Melayu di dalam segmen B40 dan M40 tidak mampu mendapat akses kesihatan yang baik.
Jika mereka mampu membiayai untuk membayar insurans kesihatan dengan wang KWSP itu pun, mereka tidak mampu untuk bersara dengan selesa.
Jelas orang Melayu berada dalam keadaan dilema sama ada ingin mendapatkan akses kesihatan yang baik ataupun boleh bersara dengan cukup selesa.
Kita tidak mahu industri kesihatan di Malaysia sama seperti Amerika Syarikat yang mana hanya golongan berkemampuan dan kaya sahaja yang boleh membayar untuk mendapatkan akses kesihatan.
Cadangan kerajaan ini nampak bagus daripada luaran kerana mahu membantu rakyat mendapat akses kesihatan yang baik namun ia akan menggadai masa depan kewangan mereka.
Sebaiknya kita tidak mahu rakyat sihat pada hari ini tetapi miskin pada masa depan.