PUTRAJAYA: Setelah hampir 11 tahun, Pertubuhan Sisters in Islam (SIS) Forum (Malaysia) yang sebelum ini telah gagal dalam rayuan di peringkat Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan juga pernah difatwakan sesat oleh Majlis Agama Islam Selangor telah dibenarkan oleh Mahkamah Persekutuan akhirnya untuk mencabar keabsahan fatwa tersebut.
Antara hujah-hujah yang menjadi landasan kepada keputusan ini adalah kerana Mahkamah menafsir “orang yang menganut agama Islam” merujuk kepada manusia sebenar, bukan syarikat atau pertubuhan, dan Jawatankuasa Fatwa Selangor tidak mempunyai bidang kuasa dalam menggubal Perenggan 2 & Perenggan 3 yang mana menyentuh bahan terbitan serta laman-laman sosial yang berkaitan seruan kepada liberalisme dan pluralisme untuk diharamkan.
Azliza Rajiain yang merupakan Ketua Pemudi Berjasa Malaysia berpandangan, walaupun berita ini sudah menggemparkan satu negara, kita melahirkan kehairanan terhadap sedikitnya bilangan suara khususnya Ahli-Ahli Parlimen majoriti beragama Islam dalam isu ini yang hakikatnya membawa ‘weightage’ atau pengaruh dan kekuatan dalam menentukan segala dasar kerajaan. Ianya termasuklah dalam menyatakan serta menggerakkan desakan secara serius kepada tiadanya lagi organisasi atau kumpulan yang membawa dakyah sesat berhubungan secara rasmi dengan mana-mana kementerian.
“Benar, mahkamah masih mengesahkan fatwa sesat kepada individu yang berpegang kepada fahaman liberalisme dan pluralisme serta yang menggerakkan pertubuhan itu, namun ianya masih mencetuskan kebimbangan dan persoalan lanjut. Hal ini kerana, telah terbukti melalui rekod-rekod lalu dalam kementerian khususnya KPWKM yang sangat mesra, membuka ruang dan meraikan penglibatan SIS bersama-sama dalam sebarang dasar yang sedang diwujudkan, dibina mahupun yang ingin ditambah baik. Jadi, adakah keputusan terbaru ini mampu melenyapkan terus sebarang kerjasama kerajaan dengan kumpulan tersebut akan datang?”, soalnya lagi.
Azliza juga menambah, situasi ini sepatutnya memberi ‘signal’ kepada para ahli parlimen Melayu Islam untuk bersatu dalam menyambut keputusan mahkamah secara praktikalnya melalui penolakan kerjasama mahupun toleransi diberikan kepada golongan mereka yang sudah disahkan sesat oleh MAIS, pengekalan fatwa pertubuhan terbabit sesat secara rasmi oleh Majlis Fatwa Kebangsaan dan pembatalan pendaftaran pertubuhan mereka secara rasmi melalui Akta Pertubuhan.