SHAH ALAM – BERJASA mendesak kerajaan agar tidak menggadaikan tanah milik orang Melayu yang masih berbaki kepada pihak asing. Hal ini demikian kerana tanah adalah satu aset strategik kepada sesebuah negara terutamanya tanah yang terletak di lokasi strategik maka rugi jika tanah tersebut digadaikan begitu sahaja.
Kenyataan daripada Ketua Penerangan BERJASA, Mohd Hamdan Mohd Sharif ini merujuk kepada laporan BERNAMA yang melaporkan mengenai cadangan negara Singapura untuk mendapatkan dua bidang tanah Malaysia bagi pembangunan pintu masuk Woodlands (WCP) seluas 2.3 ekar. Tanah tersebut adalah berstatus milikan kekal.
Beliau berpendapat kerajaan tidak sepatutnya bersetuju dengan tawaran tersebut dan ia perlu dibahaskan terlebih dahulu di Parlimen bagi mendapatkan kata putus yang lebih tuntas mengenai isu ini. Kerajaan patut sedar bahawa tanah memainkan peranan penting untuk faktor keselamatan dan strategik negara maka agak rugi jika ia dilepaskan ke negara lain.
“Kita dahulu telah kehilangan Pulau Batu Putih kepada Singapura dan beberapa pulau lain juga berkemungkinan sedang mendapat cabaran yang sama. Pertikaian dengan Indonesia dan soal pemilikan beberapa buah pulau juga tidak kurang hebatnya”.
“Saya ingin mendesak agar kerajaan tidak sesekali menerima tawaran Singapura itu untuk memindah milik atau menggantikan dengan tanah lain di kedudukan yang kurang strategik. Saya berpendapat Malaysia sewajarnya membangunkan tanah tersebut secara sendiri sahaja berteraskan identiti tempatan”.
“Kerajaan akan dilihat lemah jika tanah yang berbaki itu masih dengan perancangan untuk dijual. Mereka akan dilihat lemah, tiada idea dan tidak kompeten. Maka mereka wajar ditolak secara sepenuhnya”, tegas beliau dalam menyatakan pendirian.
Terdahulu, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura, Datuk Dr Azfar Mohamad Mustafar memaklumkan cadangan Singapura membeli dua bidang tanah milik Malaysia untuk tujuan pembangunan semula Pintu Masuk Woodlands (WCP) masih dalam perbincangan oleh pihak berkuasa Malaysia.