Shah Alam – Tindakan vokalis band The 1975, Matty Healy mencium rakan bandnya yang sama jantina mencetuskan kekecohan besar di Malaysia.
Matty Healy dilihat tidak peka dengan sensitiviti masyarakat di Malaysia yang majoritinya menolak ideologi songsang LGBTQ. Ideologi sebegitu tiada kedudukan yang khas di negara Malaysia yang majoriti rakyatnya beragama Islam.
Ketua Pemuda BERJASA, Fahmi Bazlan pantas memberikan respon terhadap isu ini dengan menyelar tindakan vokalis tersebut yang biadab dan kurang ajar.
Beliau menambah bahawa daripada awal lagi pelan kerajaan yang ingin menjadikan Malaysia sebagai hab hiburan antarabangsa di Asia Tenggara seperti Singapura atas dasar ingin meningkatkan ekonomi negara adalah tidak tepat dan kurang bijak. Hal ini demikian kerana ia telah merosakkan identiti negara yang jelas amat terikat dengan budaya ketimuran dan sopan-santun.
“Mengundang artis-artis antarabangsa untuk mengadakan konsert di Malaysia dengan alasan untuk merancakkan ekonomi negara adalah tidak bijak. Sekarang lihat lah apa yang sudah berlaku. Mereka mengambil kesempatan untuk menyebarkan ideologi yang songsang kepada rakyat kita”.
“Tidak kira ideologi apa sekalipun selain LGBTQ, kita sepatutnya waspada dengan ideologi-ideologi lain yang mereka ingin sebarkan. Sekarang nasi sudah menjadi bubur dan agak terkilan adakah pihak penganjur tidak menapis dahulu mana-mana artis yang mereka ingin jemput”.
“Negara kita ini ada identitinya sendiri. Islam adalah agama rasmi persekutuan. Adat ketimuran masih tebal dalam jati diri masyarakat maka bagi saya tidak sesuai ideolog sesat itu disebarkan di sini”, tegas beliau.
Sempat mengucapkan terima kasih kepada Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil atas ketegasan beliau yang membatalkan terus Festival Good Vibes 2023 susulan kontroversi itu, beliau juga ingin mengingatkan bahawa band terkenal, Coldplay juga menyokong ideologi LGBTQ ini sehingga pernah mengebarkan bendera pelangi di konsert mereka secara langsung.
“Jadi di sini timbul persoalan adakah kerajaan akan bertindak dengan tindakan yang sama jika Coldplay datang ke Malaysia pada November nanti. Ini menjadi ujian kepada kerajaan untuk terus menjaga sensitiviti masyarakat ataupun sebaliknya”.
“Jika tetap bertegas, maka kerajaan mempunyai jati diri yang kukuh yang menjaga keharmonian negara dan jika sebaliknya maka jelaslah tindakan yang dibuat sekarang terhadap The 1975 hanya wayang semata-mata untuk menjaga imej menjelang PRN nanti.
Sebelum ini, band Coldplay iaitu Chris Martin pernah mengibarkan bendera pelangi LGBTQ sewaktu mengadakan konsert di Singapura pada 2017. Ramai pihak yang mempersoalkan jika Chris Martin akan mengibarkan bendera tersebut ketika mengadakan konsert di Kuala Lumpur pada 22 November 2023.