Menara Kuala Lumpur: Serah kepada Syarikat Bukan Bumiputra?

Menara Kuala Lumpur bukan sekadar mercu tanda ikonik ibu negara, tetapi juga simbol kebanggaan rakyat Malaysia dalam menerajui pembangunan dan pengurusan infrastruktur strategik negara. Maka, apabila timbul laporan bahawa pengurusan Menara KL telah diserahkan kepada syarikat bukan Bumiputera, persoalan besar timbul: Apakah yang telah terjadi kepada dasar keutamaan Bumiputera dalam konsesi nasional?

Baru-baru ini, kontroversi tercetus apabila Hydroshoppe Sdn Bhd (melalui MKLSB) mendakwa akan diusir secara paksa daripada pengurusan Menara Kuala Lumpur pada hari pertama Aidilfitri. Tindakan ini mencetuskan kebimbangan dari sudut keadilan dan ketelusan dalam penganugerahan konsesi.

Hydroshoppe, pemegang saham tunggal Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd (MLKSB) mendakwa bahawa kerajaan telah menamatkan perjanjian mereka secara tidak sah, dan menganugerahkan konsesi tersebut kepada LSH Service Master Sdn Bhd (LSHSM) pada Mei tahun lalu, iaitu satu usaha sama antara dua syarikat — LSH Best Builders Sdn Bhd dan Service Master (M) Sdn Bhd tanpa proses yang telus. Perkara ini menjadi lebih rumit apabila MKLSB memfailkan saman RM1 bilion terhadap kerajaan dan pemegang konsesi baharu, selain memohon perintah mahkamah untuk menghalang pemindahan operasi.

Isunya bukan sekadar soal siapa yang layak mengurus Menara KL dari sudut teknikal dan pentadbiran. Ia adalah soal prinsip, khususnya berkaitan dasar kerajaan dalam memberi keutamaan kepada syarikat Bumiputera dalam projek nasional yang signifikan. Jika benar MKLSB mempunyai pengalaman lebih tiga dekad mengurus Menara KL dan telah memenuhi semua syarat, mengapa konsesi diserahkan kepada entiti baharu secara tergesa-gesa?

Lebih memeranjatkan, MKLSB turut mendakwa bahawa Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS), Kementerian Komunikasi dan kerajaan telah bersetuju pada awalnya untuk melanjutkan konsesi mereka selama 30 tahun lagi, sehingga 2054. Maka timbul persoalan: Siapa sebenarnya yang mungkir janji?

Semakin banyak projek strategik jatuh ke tangan entiti luar atau bukan Bumiputera, seperti isu penyerahan pegangan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) kepada syarikat asing dan banyak lagi isu sebigini. Apakah ini satu kes terpencil, atau petanda kepada trend yang lebih membimbangkan?

Peralihan kuasa secara paksa, lebih-lebih lagi pada hari yang penuh makna seperti Aidilfitri, menambahkan lagi kesangsian terhadap keikhlasan pihak berkuasa. Malah, dakwaan bahawa LSH Capital hanya menawarkan pekerjaan sementara kepada staf sedia ada, menunjukkan kelemahan dalam perancangan peralihan yang sewajarnya.

Kes Menara KL bukan sekadar pertikaian perniagaan. Ia adalah cerminan kepada hala tuju sebenar dasar negara. Adakah kita masih komited kepada pemerkasaan Bumiputera, atau prinsip itu sudah mula dikorbankan atas nama perpaduan dan keuntungan jangka pendek?

Kerajaan perlu tampil memberi penjelasan tuntas, bukan hanya demi MKLSB, tetapi demi integriti dan maruah dasar nasional yang telah dibina sejak merdeka.

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Nama Kontraktor Kes Kebakaran Dilindungi?

Next Post

kartel penyewaan tayar lori : Menteri Pengangkutan Berdiam Diri?

Related Posts