Kad Media harakah ditarik kerajaan dipersoal kumpulan media

KUALA LUMPUR: Tindakan kerajaan membatalkan pas media rasmi Harakah dibidas kumpulan pengamal media yang menyifatkan ia sebagai tindakan menyekat kebebasan media yang selama ini dilaungkan ketika menjadi pembangkang.

Terdahulu semasa sidang Dewan Rakyat semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim membangkitkan berhubung isu portal Harakah Daily yang menggunakan gambarnya dengan berlatar belakang bendera Israel dalam artikel disiarkan baru-baru ini.

Gerakan Media Merdeka (Geramm) dalam satu kenyataan berkata tidak wajar tindakan menarik balik kad media yang diberikan kepada Harakah dan Harakah Daily tanpa memberi alasan munasabah.

“Gerakan Media Merdeka (Geramm) mempersoal tindakan Jabatan Penerangan Malaysia menarik balik Kad Perakuan Media rasmi yang dikeluarkan kepada lidah rasmi PAS, Harakah dan Harakah Daily tanpa kompromi.

“Geramm berpandangan tidak ada ruang diberikan kepada pihak editorial Harakah untuk memberikan penjelasan terhadap artikel yang didakwa menyebarkan berita yang menyebarkan tuduhan tak berasas.

“Tindakan ke atas sebuah syarikat media, walaupun dimiliki oleh sebuah parti pembangkang haruslah dilakukan dengan sebab yang kuat, jelas dan telus oleh kerajaan,” kata kenyataan itu.

Menurut Geramm lagi, alasan tindakan tersebut diambil juga tidak cukup jelas.

“Justeru, tanpa justifikasi dan hanya menyatakan sebab “melanggar etika kewartawanan” sebenarnya adalah tidak cukup jelas kerana tindakan haruslah berteraskan undang-undang dan peraturan serta pertimbangan hanya selepas menerima maklumbalas daripada pihak yang satu lagi,” katanya.

Geramm juga berpandangan tindakan terhadap pengamal media tersebut juga boleh ditafsirkan sebagai usaha pihak kerajaan untuk menyekat kebebasan media.

“Sementara menanti pembentangan Rang Undang-Undang Majlis Media Malaysia, kearah penubuhan badan bebas yang antara lain berperanan akan menentukan kod etika media, Geramm juga berpandangan kerajaan tidak boleh dilihat sebagai mengambil sebarang tindakan yang boleh ditafsirkan sebagai usaha untuk mengekang kebebasan media,” ujarnya.

Menurut salinan surat Jabatan Penerangan, pihak berkuasa memetik artikel Harakah pada 6 Nov yang mendakwa kerajaan “meminta maaf” dalam menyokong perjuangan Palestin.

Artikel bertajuk ‘Malaysia Di Bawah Anwar Ragu-Ragu Sokong Palestin?’ itu memetik Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Ahmad Yahaya yang mendakwa kerajaan telah mengubah nadanya berhubung pejuang kemerdekaan Palestin untuk mengikuti naratif yang ditetapkan oleh Israel dan Barat.

Harakah juga telah menerbitkan satu set gambar untuk mengiringi artikel itu yang memaparkan Anwar dengan bendera Israel di belakangnya manakala foto Ahmad mempunyai bendera Palestin di sisinya.

Semakan mendapati gambar itu telah ditukar dan hanya bendera Israel dan Palestin dipaparkan, tanpa wajah Anwar dan Ahmad.

Sumber: Agenda Daily

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Bersama Sahut ’11 Minit Untuk Palestin’

Next Post

Gesa Apung Harga Telur, Elak Dimanipulasi Kartel

Related Posts