Pelaksanaan cukai SST secara sepenuhnya pada 1 Julai 2025 nanti telah pun mulai mendapat keluhan bukan sahaja daripada rakyat malahan pemain industri sendiri di Malaysia ini.
Keluhan ini mula disampaikan oleh enam pertubuhan terkemuka di Malaysia yang melihat pelaksanaan cukai SST buat masa ini dilihat agak kurang sesuai. Enam pertubuhan tersebut seperti yang dipetik oleh laporan The Edge Malaysia ialah SME Association of Malaysia, Malaysia Retail Chain Association (MRCA), Malaysia Retailers Association (MRA), Bumioutra Retailers Organization (BRO), Malaysia Shopping Malls Association (PPKM) dan Federation of Malaysian Business Associations (FMBA).
Antara sebab mereka meminta cukai SST ini ditangguhkan pelaksanaannya terlebih dahulu adalah kerana ia akan membebankan sektor ekonomi yang baru pulih.
Mereka mendakwa kadar 8% untuk cukai perkhidmatan bagi sewaan dan komersial dianggap tidak sesuai pada masa ekonomi masih lagi rapuh.
Apabila cukai perkhidmatan yang kadarnya 8% ini dilaksanakan kepada peniaga, inflasi akan menjadi lebih tinggi kerana kos sewaan dipindahkan kepada pengguna.
Bukan itu sahaja malahan SME dan peruncit akan menghadapi tekanan kos yang lebih besar yang akhirnya boleh mengancam kelangsungan sesetengah perniagaan.
Kerajaan mendakwa cukai SST lebih baik daripada GST namun kerajaan mungkin cuba menyorokkan fakta sebenar bahawa cukai SST yang diperkenalkan buat masa ini tidak membenarkan kredit cukai input yang menyebabkan kos cukai berganda sepanjang rantaian bekalan dan seterusnya mengurangkan daya saing.
Laksanakan Cukai SST Pada Masa Yang Sesuai
Pelaksanaan cukai SST ini seeloknya dilaksanakan ketika ekonomi negara lebih stabil. Hal ini bukan bermaksud ia perlu ditolak pelaksanaannya tetapi keadaan ekonomi negara yang lembab kini tidak sesuai untuk cukai tersbeut dilaksanakan buat masa sekarang.
Kadar 8% juga dilihat agak tinggi maka seeloknya kerajaan menurunkan kadarnya sedikit mungkin sekitar 5% yang dirasakan agak sesuai.
Kerajaan sepatutnya sedar bahawa tidak semua perniagaan mampu menyerap kenaikan kos akibat langkah yang diambil oleh kerajaan ini maka sebaiknya dikenakan pengecualian untuk perniagaan mikro dan kecil bagi mengurangkan beban kos.
Pelaksanaan cukai ini ketika pemulihan ekonomi lembab memberi tekanan tambahan kepada kos operasi, memperlambat pertumbuhan sektor kecil dan sederhana malahan lebih teruk lagi apabila perniagaan kecil akan merasa terbeban yang akhirnya membawa kepada penutupan perniagaan, pengurangan tenaga kerja dan pengurangan pelaburan domestik.